Pembelian empat helikopter AW189 APMM lancar, kelengkapan pesawat dimuktamadkan | DagangNews Skip to main content

Pembelian empat helikopter AW189 APMM lancar, kelengkapan pesawat dimuktamadkan

Helikopter AW189 jenis sama yang bakal dimiliki APMM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 7 Mac - Proses pembelian empat buah helikopter AW189 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjalan lancar apabila sesi penilaian rekabentuk dan pengurusan dilakukan.

 

Sesi ini membabitkan tinjauan pihak pengurusan kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke fasiliti pembuatan pesawat tersebut di Leonardo Helicopters Division, Vergiante Plant, Milan, Itali.

 

Selain KDN, wakil dari kementerian lain hadir sama seperti kewangan, ekonomi dan APMM.

 

Ia turut melibatkan syarikat tempatan yang diberikan kontrak untuk membekalkan helikopter berkenaan iaitu Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. (Galaxy Aerospace)

 

APMM
Pegawai-pegawai KDN diberi penerangan tentang helikopter AW189 semasa lawatan ke fasiliti pemasangan pesawat di Itali.

 

Antara perkara yang telah dimuktamadkan sepanjang sesi tersebut ialah melibatkan beberapa sistem dan kelengkapan yang akan dipasang pada helikopter ini.

 

Antaranya ialah FLIR System, fast roping kit, peta digital, tempoh penghantaran dan jadual pembayaran.

 

FLIR System merupakan komponen penting pada helikopter ini yang diperanankan khusus untuk tugas dan operasi maritim.

 

Sistem penglihatan inframerah ini membantu juruterbang dan kru.

 

AW189 merupakan helikopter saiz sederhana antara yang paling banyak dioperasikan oleh pelbagai agensi penyelamat serta pasukan keselamatan di dunia.

 

APMM
Kilang pemasangan helikopter Leonardo di Milan.

 

Helikopter

 

Helikopter ini lebih besar berbanding AW139 sedia ada milik APMM.

 

Nahas udara melibatkan sebuah pesawat AW139 APMM di perairan Selangor kelmarin menyebabkan helikopter jenis ini yang dimiliki agensi itu kini tinggal dua.

 

Berbanding AW139, helikopter AW189 mempunyai berat 8.6 tan serta dilengkapi dua enjin dan boleh terbang selaju 294 kilometer sejam.

 

Dengan dua kru, helikopter AW189 boleh membawa sehingga 19 orang penumpang.

 

Ia juga dilengkapi dengan keupayaan untuk melaksanakan misi-misi perubatan dan menyelamat yang mencabar.

 

Helikopter
Helikopter AW189 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

Ciri-ciri ini menjadikan AW189 terbaik dalam kelasnya dalam melaksanakan misi seperti mencari dan menyelamat serta pemindahan perubatan.

 

Pada Januari lalu Galaxy Aerospace mendapat kontrak membekalkan 4 buah helikopter AW189 buatan firma Leonardo dari Itali kepada APMM.

 

Bagaimana pun, nilai keseluruhan perolehan tidak dinyatakan.

 

Menerusi kontrak ini, pihak Galaxy Aerospace akan membekalkan pesawat lengkap dengan kelengkapan peralatan misi untuk menyokong operasi APMM.

 

Jabatan Bomba dan Penyelamat pula membeli dua helikopter AW189 pada 2018 bagi meningkatkan kemampuan operasi udara membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM218 juta. - DagangNews.com