Pembinaan menara telekomunikasi akan pacu pertumbuhan Perak Transit bermula FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pembinaan menara telekomunikasi akan pacu pertumbuhan Perak Transit bermula FY23 - AmInvestment

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Dis - AmInvestment Bank Research menjangkakan Perak Transit Berhad akan memulakan pembinaan menara telekomunikasi dalam beberapa bulan akan datang sekali gus menyediakan momentum pertumbuhan bermula FY23 dan seterusnya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sebelum ini sebelum ini memeterai perjanjian rangka kerja induk dengan edotco Malaysia On Site Services bagi menyediakan perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan bagi pembinaan menara telekomunikasi.

 

Katanya, perjanjian itu menandakan satu lagi usaha kumpulan itu untuk mengukuhkan lagi kerjasamanya dengan edotco Malaysia, selepas pakatan strategik yang dibentuk pada Jun 2022 untuk kumpulan menyediakan penyelesaian dan struktur dalam bangunan dan telekomunikasi dalam bangunan atau tanah di Perak.

 

Firma itu berkata, ia juga selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mempelbagaikan asas pendapatannya dan mengurangkan pergantungan kepada perniagaan sedia ada.

 

"Kami optimis dengan pakatan strategik kumpulan itu dengan edotco Malaysia memandangkan peluang pertumbuhan yang besar daripada usaha telekomunikasi ini, terutamanya berdasarkan komitmen kerajaan Malaysia untuk membelanjakan RM4.6 bilion di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian 4G di kawasan luar bandar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai projek itu, kami mencadangkan bahawa usaha niaga ini boleh menyumbang keuntungan tambahan selepas cukai sebanyak RM8 juta-RM10 juta kepada pendapatan teras FY23-FY24 dengan mengandaikan kejayaan pembinaan 100 unit menara telekomunikasi setahun.

 

Katanya, pihaknya memperhalusi pendapatan FY22 pada pertumbuhan hasil yang lebih kukuh sedikit daripada segmen terminal pengangkutan awam bersepadu.

 

Firma itu juga menyemak naik unjuran pendapatan FY23/FY24 sebanyak 7%/12% hasil sumbangan pendapatan tambahan daripada penyediaan penyelesaian dalam bangunan dan telekomunikasi di Perak untuk edotco Malaysia.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) lebih tinggi RM1.62 berbanding RM1.36 sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com