Pembukaan semula China akan menjadi pemangkin kepada sektor pengangkutan - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Pembukaan semula China akan menjadi pemangkin kepada sektor pengangkutan - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Pembukaan semula China dilihat akan menjadi pemangkin utama kepada sektor pengangkutan terutama dalam memacu perkembangan pelabuhan dan lapangan terbang pada 2HFY23.

 

Bagaimanapun, RHB Research berkata, cabaran pelaksanaanya masih kekal untuk jangka masa pendek dan dijangka pembukaan semula itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

 

"Pertumbuhan ekonomi global yang lembap, disokong oleh ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang berterusan, juga mungkin membawa kepada aliran perdagangan global yang agak perlahan untuk tahun penuh.

 

"Kami melihat secara positif peningkatan daya tampung penumpang dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi kekal berhati-hati terhadap kemungkinan daya tampung penumpang kembali ke tahap pra pandemik terutamanya melibatkan pengembara asing," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pertumbuhan global dijangka perlahan kepada 2.7% pada 2023 (2022: 3.2%), memetik kelembapan serentak tiga ekonomi besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan China.

 

"Kami menantikan pembukaan semula China sebagai pemangkin berpotensi tetapi mengekalkan kewaspadaan terhadap cabaran jangka pendek yang masih wujud dalam rantaian bekalan," katanya.

 

Firma itu berkata, The Drewry World Container Index mencatatkan penurunan sebanyak c.80% dan pemain industri percaya kadar tambang tidak mungkin meningkat semula pada FY23.

 

Katanya, kebimbangan mengenai kesan ke atas pendapatan akibat daripada nomalisasi kadar tambang bukanlah tidak berasas, jadi kami menyarankan agar pelabur melihat ke dalam pemain logistik yang pelbagai seperti Tasco yang sepatutnya menikmati jumlah eksport dan import yang kukuh didorong oleh permintaan dalam negeri.

 

"Kami bagaimanapun kekal neutral terhadap sektor itu.

 

"Tasco kekal sebagai pilihan utama kerana prestasi cemerlang daripada beberapa suku yang lalu telah menonjolkan kecemerlangan operasi dan strategi pengurusan dalam mengatasi jangkaan pelabur," katanya. - DagangNews.com