Pemerkasa: Pemulihan ekonomi hampir pasti | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa: Pemulihan ekonomi hampir pasti

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

Genap setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan buat pertama kali, tepat tanggal 18 Mac 2020 setelah Malaysia turut tidak terkecuali berdepan penularan pandemik COVID-19. 

 

Tarikh itu menjadi detik bersejarah buat negara dan disusuli pula dengan pelbagai pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi Malaysia masih bertahan walaupun menerima impak hebat akibat wabak tersebut.

 

Sepanjang tempoh berkenaan, kerajaan telah menyuntik sehingga RM320 bilion bagi merangsang semula ekonomi selain membantu rakyat terutamanya golongan rentan menerusi lima pakej rangsangan. 

 

Lewat petang semalam, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bernilai RM20 bilion pula diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah sebagai ‘hadiah’ bagi ulang tahun PKP di negara ini. 

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

Hanya dalam tempoh tiga bulan sejak Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) diumumkan, kerajaan menyuntik RM11 bilion lagi nilai fiskal baharu di bawah Pemerkasa, sekali gus mencetuskan soalan cepumas: kerajaan masih ada duit lagikah?

 

Masih ada ruang untuk kerajaan mengekalkan unjuran defisit fiskal pada kadar 5.4% (hari ini telah ditingkatkan kepada 6%) bagi 2021 dengan adanya suntikan tambahan hasil komoditi seperti minyak sawit dan minyak mentah yang kini berlegar pada paras harga lebih tinggi. 

 

Sementelahan bulan Mac dan April 2021 merupakan ‘musim’ kutipan cukai, bagi Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, ada ruang untuk kerajaan menyalurkan hasil-hasil berkenaan di bawah Pemerkasa.

 

Ahmed Razman
Ahmed Razman Abdul Latiff

 

“Kalau kita lihat, Pemerkasa sebenarnya sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan Belanjawan 2021. 

 

“Oleh itu, peruntukan memang tersedia ada untuk membantu meningkatkan ekonomi negara pada tahun ini, di mana Pemerkasa bertindak sebagai pemangkin untuk Belanjawan 2021, seterusnya mempercepatkan pemulihan beberapa sektor dan individu,” katanya kepada DagangNews.com.

 

Pemerkasa dilancarkan dengan 20 inisiatif, bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

 

Ahmed Razman melihat kedua-dua pola pakej rangsangan, Pemerkasa dan Permai lebih tertumpu kepada golongan yang terkesan dan bukan lagi bersifat bantuan atas dasar ‘pukul rata’.

 

Ini menyaksikan fiskal langsung sebanyak 55% di bawah Pemerkasa, berbanding 44% yang diberikan di bawah Permai, berdasarkan unjuran beliau.

 

Baca : Fiskal kerajaan tidak terbeban dengan Pemerkasa

 

“Dengan adanya program imunisasi kebangsaan, kadar jangkitan yang rendah serta hasrat kerajaan untuk membenarkan rentas negeri dan daerah selain banyak sektor dijangka kembali pulih, saya fikir tiada lagi keperluan pakej tambahan selepas ini,” ujarnya lanjut. 

 

Senada beliau, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya Pemerkasa akan menjadi perangsang ekonomi utama (main booster) bagi tahun ini susulan program imunisasi telah dimulakan, sekali gus sasaran imuniti kelompok diawalkan menjelang Disember 2021. 

 

Dr. Afzanizam
Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

“Bantuan kerajaan seperti subsidi upah, geran perniagaan serta skim kredit mikro seharusnya dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dan seterusnya.

 

“Saya fikir pengumuman Pemerkasa menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai komitmen yang tinggi bagi memastikan proses pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan. 

 

“Ini terbukti apabila peruntukan bagi program vaksinasi telah ditingkatkan kepada RM5 billion daripada RM3 billion sebelum ini,” ulasnya.

 

Justeru, pendekatan kerajaan adalah fleksibel dan bertindak atas keperluan memandangkan negara belum lagi menang dalam memerangi wabak COVID-19, katanya lagi. - DagangNews.com