Penamatan kontrak antara CCCC dan GSSB tidak beri kesan operasi kepada Econpile  | DagangNews Skip to main content

Penamatan kontrak antara CCCC dan GSSB tidak beri kesan operasi kepada Econpile 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 20 Jan - Pertikaian di antara China Communication Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCC) dan Gabungan Strategik Sdn Bhd (GSSB) tidak memberikan kesan operasi pada Econpile Holdings Bhd (Econpile), menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

 

Firma penganalisis itu berkata, rakan usaha sama anak syarikat milik penuh Econpile, Econpile (M) Sdn Bhd, CCCC pada 7 Januari 2022 telah mengeluarkan notis penamatan kepada GSSB untuk pelanggaran subkontrak bagi pelaksanaan dan penyiapan asas, substruktur dan kerja-kerja sampingan lain bagi Pakej SUKE-CA3 projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatannya kerana ia tidak menjejaskan operasi dan mengekalkan saranan 'Pegang' pada Econpile dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM0.32," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Econpile melalui usaha sama 40:60 dengan CCCC telah memperoleh kontrak bernilai RM389.1 juta pada Disember 2016. 

 

Tempoh keseluruhan kontrak adalah 17 bulan dan skop kerja Econpile bernilai RM158.3 juta telah pun disiapkan. 

 

"Oleh itu, kami percaya bahawa tidak akan ada kesan operasi terhadap Econpile dan sebahagian besar daripada nilai kontrak telah pun diiktiraf pada tahun-tahun sebelumnya.

 

"Kami memahami bahawa jumlah pengekalan sebanyak RM8.0 juta masih belum dibilkan kerana jumlah yang dinyatakan di atas belum perlu dibayar. 

 

"Dengan Econpile menyelesaikan skop kerja mereka dalam jangka masa yang ditetapkan, kami cukup yakin bahawa jumlah itu akan diiktiraf pada masa hadapan," katanya. 

 

Sementara itu Malacca Securities berkata, walaupun terdapat sedikit keterujaan untuk sektor pembinaan di bawah Bajet 2022, pihaknya tetap optimistik dengan berhati-hati untuk pemulihan sektor pada 2022. 

 

Ujarnya, ia menganggap cabaran yang datang daripada kenaikan harga bahan mentah, kos operasi tambahan bagi mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 dan kekurangan pekerja akan terus menjadi halangan untuk mengekalkan margin pada tahap pra-pandemik. -DagangNews.com