Penampilan sulung L&P Global di Pasaran ACE catat 42 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Penampilan sulung L&P Global di Pasaran ACE catat 42 sen sesaham

KUALA LUMPUR 3 Jan - L&P Global Berhad mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad hari ini, dibuka pada 42 sen, premium 12 sen atau 40% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 30 sen.

 

Semasa pembukaan, penyedia penyelesaian pembungkusan industri bersepadu yang berpangkalan di Pulau Pinang itu menyaksikan 19.99 juta sahamnya diniagakan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ooi Lay Pheng berkata, premium itu dalam jangkaan syarikat berikutan pihaknya telah menerima sambutan yang menggalakkan untuk IPO, melebihi langganan sebanyak 36.14 kali.

 

“Penyenaraian kami pada hari ini merupakan pencapaian penting dalam sejarah perniagaan L&P selama 38 tahun. Lebih penting, status yang baharu disenaraikan dan dana baharu yang diraih akan membolehkan kami mempercepatkan pelan pengembangan kami dan fasa pertumbuhan kami yang akan datang.

 

“Dengan kadar penggunaan kami pada kira-kira 90% untuk tempoh tujuh bulan berakhir 31 Julai 2022, kami perlu bersedia dengan kapasiti tambahan untuk menjalankan perniagaan baharu,” katanya.

 

Beliau berkata  banyak syarikat multinasional (MNC) telah ditempatkan semula dan mewujudkan kemudahan pembuatan baharu di Asia Tenggara berdasarkan situasi makro ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China yang berterusan.

 

“Ini memberi prospek yang baik kepada kami berikutan aktiviti pembuatan yang meningkat akan membawa kepada permintaan yang lebih tinggi terhadap produk pembungkusan industri,” katanya.

 

L&P terlibat dalam mereka bentuk dan mengeluarkan palet kayu buatan khas, kotak dan peti selain menyediakan perkhidmatan pembungkusan, perkhidmatan bekalan kitaran serta perdagangan produk dan bahan mentah yang berkaitan.

 

Menurut Lay Pheng, pembungkusan industri berasaskan kayu dianggap lebih mesra alam berbanding plastik dan logam berikutan kayu adalah bahan  terbiodegradasi  dan proses pembuatannya menjana pelepasan karbon yang lebih rendah.

 

“Produk pembungkusan industri berasaskan kayu akan terus memainkan peranan penting bagi perniagaan untuk menghantar barangan ke seluruh rantaian bekalan berikutan ia menjimatkan kos dan mesra alam.

 

“Kami akan turut mengembangkan perkhidmatan bekalan kitaran kami iaitu kami mengumpul, membaiki, mengitar semula, menggunakan semula dan menjual semula produk pembungkusan industri terpakai, sekali gus memanjangkan jangka hayat sumber kayu itu,” katanya. - DagangNews.com