Pencapaian usahawan dipantau agar tidak tersasar dari matlamat, kata Wan Junaidi | DagangNews Skip to main content

Pencapaian usahawan dipantau agar tidak tersasar dari matlamat, kata Wan Junaidi


CYBERJAYA 10 Jun – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yakin dapat menghasilkan lebih ramai usahawan yang berjaya melalui pelbagai program latihan dan bimbingan keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

 

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, program anjuran INSKEN yang bersifat handholding amat bersesuaian untuk usahawan termasuk yang baru menceburi bidang keusahawanan.

 

Beliau berkata, prestasi peserta yang menyertai program latihan dan bimbingan INSKEN sentiasa dipantau bagi memastikan usahawan berada di landasan yang betul. Sehingga hari ini, pencapaian cemerlang usahawan yang menghadiri program latihan dan bimbingan INSKEN masih dapat dikekalkan dengan purata peningkatan jualan minimum sebanyak 20%.

 

Lebih membanggakan apabila ada usahawan yang berjaya merekodkan peningkatan jualan melebihi 200% setelah menyertai program anjuran INSKEN.

 

Tambahnya lagi, sejak mula dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau sentiasa memberi penekanan terhadap rekod pencapaian usahawan yang telah menerima bantuan atau menyertai program di bawah MEDAC untuk dipantau dari semasa ke semasa.

 

INSKEN melaksanakan pemantauan ini melalui salah satu aplikasi yang dikenali sebagai iPro untuk memastikan prestasi usahawan tidak tersasar dan dapat diberikan bantuan dengan segera jika berkeperluan demi pencapaian cemerlang usahawan. 

 

Selain itu, INSKEN turut mensasarkan untuk mempersiapkan usahawan dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian untuk menghadapi situasi pasca COVID-19.

 

Sejak Mac lalu, agensi di bawah MEDAC ini juga, telah tampil ke hadapan dalam melaksanakan 2 Sesi Interaksi Usahawan Bersama Menteri secara fizikal yang dihadiri lebih 100 orang usahawan dan 8 Sesi Townhall Industri secara atas talian melalui platform Zoom dan Facebook Live dengan jumlah penonton sebanyak 11,000 usahawan.

 

menteri
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

Objektif sesi ini dijalankan adalah bagi memberi peluang kepada usahawan untuk berkongsi pendapat, cadangan serta maklum balas mengenai situasi perniagaan mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Hari ini, INSKEN telah melaksanakan 1 lagi Sesi Interaksi Usahawan Bersama Menteri MEDAC selama 2 jam secara atas talian melalui platform Zoom dan Facebook Live. Sesi ini telah dihadiri lebih 200 usahawan dari pelbagai industri.

 

Turut hadir ketika sesi ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad serta ketua-ketua agensi di bawah MEDAC. - DagangNews.com