Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 dibuka tidak lama lagi - Menteri Kesihatan | DagangNews Skip to main content

Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 dibuka tidak lama lagi - Menteri Kesihatan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 kepada orang ramai di negara ini akan dibuka tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

 

Memetik kenyataan beliau menerusi Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan menyasarkan pemberian vaksin kepada 70% populasi atau 23 juta orang bagi membentuk imuniti berkelompok.

 

Mengikut Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pemberian vaksin akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu pertama, barisan hadapan; kedua, kumpulan berisiko tinggi (penyakit kronik) dan warga emas berumur 60 tahun ke atas; dan ketiga orang awam berumur 18 tahun ke atas.

 

Ketika menjadi tetamu program Bicara DR di RTM malam tadi, Adham berkata, vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diterima Malaysia akhir bulan Februari ini, telah diberi kelulusan bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

 

Adham Baba
ADHAM BABA ketika menjadi tetamu program Bicara DR di RTM malam tadi. 

 

Selain Malaysia, 49 buah negara lain juga telah memberi kelulusan, malah ada negara telah pun mengguna vaksin itu, katanya.

 

Untuk rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin COVID-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan, tambah petikan kenyataannya lagi.

 

"Setakat 13 Januari,  kira-kira 32 juta orang di seluruh dunia telah disuntik vaksin COVID-19. Ini menunjukkan vaksin ini diterima masyarakat dunia.

 

"Namun, vaksin bukanlah penyelesaian. Selepas disuntik, kita masih perlu mempratikkan norma baharu," katanya.

 

Tambah Adham, terdapat empat matlamat imunisasi COVID-19 iaitu melindungi barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan.

 

Mengenai penerimaan rakyat terhadap vaksin COVID-19, beliau berkata, tinjauan KKM mendapati sebahagian besar rakyat bersetuju.

 

Tinjauan dalam talian pada 21 Disember hingga 28 Disember 2020 itu disertai oleh 212,000 responden yang menyaksikan 67% setuju (90% yakin vaksin berkesan), 17% tidak pasti dan 16% tidak setuju.

 

Bagi 17% yang tidak pasti itu pula kerana risau kesan sampingan dan keberkesanan vaksin.

 

“KKM akan membuat tinjauan dan kaji selidik dari semasa ke semasa untuk mengetahui penerimaan rakyat,” katanya lagi. - DagangNews.com