Pendapatan Astro pada 1HFY24 menguncup 7% kesan langganan televisyen rendah, penurunan hasil iklan radio - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Astro pada 1HFY24 menguncup 7% kesan langganan televisyen rendah, penurunan hasil iklan radio - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Pendapatan Astro Malaysia Holdings Berhad pada 1HFY24 menguncup sebanyak 7% kesan daripada sumbangan lebih rendah daripada langganan televisyen dan penurunan hasil iklan radio.

 

Kenanga Research berkata, pengurangan yang lebih besar dalam keuntungan bersih teras (-45%) berpunca daripada peningkatan kos pembiayaan, serta susut nilai dan kos kandungan yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh perberlanjaan iklan yang lebih tinggi, kerugian membeli-belah rumah yang mengecil, sumbangan yang lebih baik daripada segmen radio, dan cukai yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil merosot sebanyak 5.6% kepada RM869.82 juta daripada RM921.12 juta, terutamanya berpunca daripada penurunan pendapatan langganan dan jualan barang dagangan.

 

BACA JUGA: Untung bersih Astro susut kepada RM23.6 juta bagi 2QFY24 berbanding RM98.4 juta pada tahun sebelumnya

 

Firma penyelidikan itu berkata, purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) bagi televisyen berbayar meningkat buat suku ketiga berturut-turut kepada RM99.10.

 

"Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh kadar pengambilan lebih tinggi pakej fiber dan penamatan pelanggan yang mempunyai ARPU lebih rendah.

 

"Namun, asas pelanggan Astro terus merosot pada suku ini dengan penamatan 41,000 pelanggan," katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kenanga Research berkata, Astro menjangkakan kos awal kira-kira RM52 juta daripada pelaksanaan skim pemisahan sukarela (VSS).

 

Namun, katanya penjimatan kos hanya akan direalisasikan secara progresif memandangkan pekerjanya akan dilepaskan berperingkat.

 

"Justeru, impak perbelanjaan pekerja yang lebih rendah dijangka akan dirasai sepenuhnya menjelang tahun kewangan 2025," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, langkah Astro membeli studio pasca produksi, Basecamp Films baru-baru ini dijangka meningkatkan keupayaan dalaman kumpulan untuk menghasilkan kandungan tempatan.

 

"Selain itu, ia juga dijangka dapat menyediakan perkhidmatan kepada industri yang lebih meluas," katanya. - DagangNews.com