Pendapatan Genting Malaysia bagi 4QFY22 diunjur kukuh disokong pertambahan kehadiran pelancong - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Genting Malaysia bagi 4QFY22 diunjur kukuh disokong pertambahan kehadiran pelancong - Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - Kenanga Research menjangkakan Genting Malaysia Berhad akan merekodkan pendapatan yang kukuh bagi 4QFY22 didorong peningkatan hasil pada hujung tahun. 

 

Firma itu berkata, ia juga didorong hasil 9MFY22 Genting Singapura yang mencatatkan lonjakan keuntungan sebanyak 75% dari suku ke suku kepada SG$241 juta (RM798.4 juta) kesan daripada pertambahan kehadiran pelancong.

 

Katanya, pendapatan itu membentuk 72% daripada ramalan FY22 konsensus.

 

"Kami menganggap keputusan itu melebihi jangkaan memandangkan 4QFY22 adalah suku tahunan yang kukuh pada musim cuti akhir tahun dan keputusan biasanya lebih kukuh daripada 3QFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pendapatan itu disokong oleh 49% bulan ke bulan dan 107% kenaikan tahun ke tahun bagi pendapatan 3QFY22 disokong oleh pelanggan premium yang tinggal di sana lebih lama.

 

Singapura mencatatkan peningkatan 91% ketibaan pelancong sebanyak 2.04 juta pada 3QFY22 berbanding 1.07 juta pada 2QFY22 berbanding 246,000 semasa pra pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April 2022.

 

"Kami kekal optimistik bahawa pendapatan hambar di Genting Singapura selama dua tahun akan berakhir dengan pemulihan pendapatan dari 2QFY22 kerana pembukaan semula sempadan antarabangsa berjaya meningkatkan kehadiran pelancong.

 

"Keadaan itu akhirnya akan memberi manfaat kepada syarikat induk, Genting Berhad," katanya.

 

Firma itu menaikkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY22 dan FY23 sebanyak 21% dan 19% bagi mencerminkan kekuran pendapatan Genting Singapura bagi 3QFY22.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM5.86. - DagangNews.com