Pendapatan Infomina dijangka lebih kukuh pada 2HFY24 didorong segmen infrastruktur teknologi – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Infomina dijangka lebih kukuh pada 2HFY24 didorong segmen infrastruktur teknologi – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 

KUALA LUMPUR 18 Okt - Pendapatan Infomina Berhad dijangka lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 (2HFY24) didorong segmen operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan infrastruktur teknologi (TIOMSS), menurut AmInvestment Bank Research.

 

Susulan laporan kewangan Infomina bagi suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), AmInvestment berkata tiada perubahan pada pendapatan FY24-FY26 kerana pendapatan kumpulan pada suku semasa sebanyak RM7.3 juta menyumbang 17% daripada anggaran tahun penuh firma dan 15% daripada ramalan konsensus.

 

Kami menganggap pendapatan adalah dalam jangkaan kerana pendapatan 2HFY24 dijangka lebih kukuh secara berurutan. Ini disebabkan jangkaan kami terhadap sumbangan pendapatan yang lebih baik didorong pembaharuan kontrak dan kontrak baharu daripada segmen TIOMSS,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, buku pesanan tertunggak Infomina kini berjumlah RM450 juta, yang diterjemahkan kepada 1.3 kali hasil FY24, di mana segmen TIOMSS menyumbang 70% daripada jumlah buku pesanan.

 

Pada 1QFY24, Infomina telah mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 34% tahun ke tahun (YoY) kepada RM56 juta disebabkan sumbanganlebih kukuh daripada segmen projek sedia guna (turnkey) dan TIOMSS.

 

AmInvestment berkata segmen TIOMSS bertambah baik sebanyak 33% YoY, didorong oleh peningkatan dalam penyediaan rumusan infrastruktur teknologi untuk institusi perkhidmatan kewangan di Filipina dan Thailand.

 

Selaras dengan sumbangan lebih tinggi daripada segmen TIOMSS, margin kasar Infomina meningkat 17 mata peratusan kepada 28%, kata firma itu.

 

Mengulas mengenai prospek syarikat, firma itu berkata Infomina menyasarkan untuk terus mengembangkan jejaknya ke Asia Utara, terutamanya China, Hong Kong dan Jepun.

 

Di samping itu, firma itu difahamkan bahawa Infomina akan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk menembusi pasaran China dan Hong Kong, sambil menubuhkan anak syarikat di Jepun.

 

“Kami menjangkakan lebih banyak pembaharuan kontrak diperoleh di negara-negara ini kerana ia adalah sebahagian daripada wilayah rakan kongsi CA, di mana pada masa ini syarikat itu tidak mempunyai kehadiran yang kukuh,” katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah sebanyak RM1.82 sesaham.

 

Pada pukul 10:50 pagi ini, saham Infomina susut 8 sen atau 4.7% kepada RM1.62, menilai permodalan pasaran pada RM974 juta. - DagangNews.com