KUALA LUMPUR 9 Jan - Kenanga Research mengunjurkan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 17) memberi pendapatan yang lebih baik untuk LPI Capital Berhad.
Firma itu berkata, penstabila tuntutan dan nisbah insurans semula mungkin mengurangkan tekanan pendapatan.
Katanya, bermula 1 Januari 2023, piawaian perakaunan baharu akan mengagihkan pengiktirafan hasil taja jamin dengan lebih sekata sepanjang tempoh polisi, yang akan menjejaskan akaun yang melaporkan hasil yang lebih besar dalam tempoh awal.
"Selain penubuhan liabiliti ‘margin perkhidmatan kontrak’ baharu, hasil dan pendapatan tertahan dijangka menurun,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, LPI mungkin mengalami arah aliran terbalik kerana amalan terdahulu membayangkan peruntukan yang lebih tinggi dan hasil yang kurang bagi tempoh sebelumnya.
"Oleh itu, pematuhan MFRS 17 boleh meningkatkan pengiktirafan secara keseluruhan,” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM14.10 sesaham.
“Pada harga semasa, kami percaya terdapat peluang membeli kerana premium LPI kekal wajar berdasarkan prospek dividen dan pendapatannya yang lebih baik, dengan sokongan daripada Public Bank,” katanya.
Walaupun tiada gambaran impak pelaksanaan MFRS 17 kepada pendapatan kumpulan, firma itu berkata, pelabur mungkin lebih cenderung memilih LPI berbanding syarikat lain kerana menjangkakan berlakunya kemerosotan hasil. - DagangNews.com