Pengambilan tenaga kerja baharu dijangka tingkatkan produktiviti SLP Resources - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Pengambilan tenaga kerja baharu dijangka tingkatkan produktiviti SLP Resources - Malacca Securities

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Malacca Securities menjangkakan pengambilan tenaga kerja baharu oleh SLP Resources Berhad akan meningkatkan produktiviti kumpulan selain mengurangkang masalah kekurangan buruh.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu beroperasi pada tahap sekitar 50% sepanjang dua suku tahun kewangan lalu.

 

"Kami menjangkakan kadar penggunaan kilang akan meningkat secara beransur-ansur ke tahap 60% pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak sebanyak 60.3% kepada RM4.94 juta pada 3QFY22 berbanding RM3.08 juta tahun lalu hasil daripada pendapatan yang tinggi.

 

Pendapatan sesaham kumpulan itu meningkat kepada 1.56 sen pada 3QFY22, berbanding 0.97 sen setahun lalu,

 

Perolehan kumpulan untuk 3QFY22 berkembang 30.6% kepada RM47.23 juta berbanding RM36.17 juta pada tahun sebelumnya disebabkan peningkatan jumlah jualan daripada pasaran domestik dan luar negara.

 

Firma itu berkata, jualan domestik akan disokong oleh permintaan yang lebih tinggi menjelang akhir tahun.

 

Katanya, penggunaan proses automasi dan pendigitalan yang berterusan dijangka menyaksikan margin bersih kembali ke paras tertinggi pada FY23.

 

"Kami menjangkakan harga resin akan meningkat kerana China berusaha untuk melonggarkan polisi ketat COVID-19 mereka, yang mungkin berpotensi mengakibatkan prospek permintaan yang lebih baik," katanya.

 

Firma itu menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 19.6% dan 3.5% kepada RM17.8 juta and RM23. juta bagi FY22 serta FY23 selepas mengambil kira margin keuntungan yang lebih baik. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.10 sesaham," katanya. - DagangNews.com