Penganalisis ekonomi unjur eksport Disember 2022 berkembang lebih perlahan kesan kelembapan ekonomi global | DagangNews Skip to main content

Penganalisis ekonomi unjur eksport Disember 2022 berkembang lebih perlahan kesan kelembapan ekonomi global

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Eksport Disember 2022 mungkin berkembang lebih perlahan berbanding jangkaan didorong oleh kelembapan ekonomi global.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research menjangkakan bacaan eksport akhir 2022 mungkin lebih rendah daripada unjuran firma itu.

 

Firma itu berkata, eksport berkembang sebanyak 27.2% disebabkan oleh permintaan berterusan daripada rakan dagangan utama dan disumbangkan oleh ringgit yang lebih lemah.

 

Katanya, perkembangan eksport juga disebabkan oleh harga komoditi yang stabil disebabkan ketegangan geopolitik yang meningkat serta tekanan rantaian bekalan yang berkurangan.

 

"Walaupun aliran pertumbuhan eksport menjadi sederhana, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 pada 8.6% (2021: 3.1%) kerana pertumbuhan mungkin disokong oleh permintaan domestik yang kukuh kesan peningkatan berperingkat dalam aktiviti ekonomi dan sosial selepas pandemik.

 

BACA JUGA: Perdagangan Malaysia berkembang kukuh, meningkat kepada RM238.17 bilion pada November

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati dengan prospek untuk 2023 dengan unjuran pertumbuhan KDNK dikekalkan pada 4.3% selepas mengambil kira prospek kelembapan ekonomi global yang akan berlaku dan kesan keadaan kewangan yang lebih ketat di tengah-tengah pengetatan dasar monetari global," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Sementara itu, PublicInvest Research menjangkakan, pertumbuhan dalam eksport barangan dan perkhidmatan bagi mengekalkan momentum positif pada 3.3% pada 2023 daripada unjuran 11.4% untuk 2022 (15.4% pada 2021).

 

Katanya, pertumbuhan dalam import sebenar barangan dan perkhidmatan pada 4.8% pada 2023 daripada 15.5% dijangka tahun ini (17.7% pada 2021).

 

"Memandangkan nilai perdagangan Malaysia yang tinggi sebagai peratusan KDNK dan kecenderungan eksport yang tinggi (nisbah eksport kepada KDNK), jangkaan pertumbuhan perlahan dalam pembangunan ekonomi global serta permintaan semikonduktor mungkin akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia pada 2023.

 

"Bagi jangka pendek, kami menganggarkan bahawa KDNK mungkin berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 3.9% pada 4QFY22 berbanding 14.2% pada 3QFY22, dengan pertumbuhan setahun penuh sebanyak 8.0% dianggarkan untuk 2022 sebelum menyederhana kepada 3.8% pada 2023," katanya. - DagangNews.com