Penganalisis saran ‘tambah’ dan ‘neutral’ saham BAT | DagangNews Skip to main content

Penganalisis saran ‘tambah’ dan ‘neutral’ saham BAT

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Dua firma penyelidikan ekonomi, CGS-CIMB Research dan MIDF Research masing-masing meletakkan saranan berbeza terhadap saham syarikat tembakau, British American Tobacco (M) Berhad (BAT).

CGS-CIMB menyarankan untuk ‘tambah’ saham BAT, manakala MIDF menurunkan penarafan daripada ‘kurangkan’ kepada neutral. 

Walaupun ramalan harga sesaham (EPS) dan dividen sesaham (DPS) bagi tahun kewangan 2020 hingga 2022 BAT diturunkan, namun CGS-CIMB meletakkan saranan 'tambah' dengan sasaran harga lebih rendah kepada RM12.65. 

“Kami menyarankan pelabur mengumpulkan saham BAT untuk hasil tahun kewangan 2021 hingga 2022 antara 8.3% ke 9.1%, yang semestinya berguna apabila pasaran global merudum.

“Hasil ini disokong oleh komitmen BAT untuk sekurang-kurangnya membayar 90% daripada keuntungan bersih dan pemulihan dalam aliran tunai operasinya,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

MIDF sebaliknya menurunkan penarafan saham BAT kepada ‘neutral’ dengan sasaran harga direndahkan kepada RM9.60 berdasarkan penilaian model dividen dan jangkaan pertumbuhan jangka panjang dividen sebanyak 0.5%.

“Bagaimanapun, kos ekuiti meningkat kepada 11% daripada 8.5% didorong cabaran yang berpanjangan dalam industri tembakau negara,” kata MIDF. 

Rokok haram kekal sebagai penghalang kepada BAT untuk mencatatkan pertumbuhan tinggi dan ini digambarkan menerusi prestasi kewangan suku ketiga 2020 (3Q20) syarikat itu yang menunjukkan keuntungan bersih merosot 23.3% berbanding tahun lalu kepada RM63.7 juta. 

“Kami percaya pembendungan rokok haram akan mengambil masa dan memerlukan usaha sejajar oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam membawa perubahan kepada industri. 

“Oleh itu, hasil dividen BAT masih lagi memberangsangkan pada 7.7% dan kami percaya langkah penstrukturan syarikat itu bakal membuahkan hasil dalam tempoh jangka masa panjang,” tambah MIDF. 

Senada MIDF, CGS-CIMB percaya BAT mampu ‘menarik nafas’ lega sekiranya ‘vape’ diiktiraf sebagai produk yang dikawal selia oleh kerajaan kerana ia mampu menarik permintaan tinggi terhadap kategori produk itu. 

“Kami tidak pasti sekiranya ada turun dan naik syer pasaran haram melibatkan rokok dan 'vape'. Kami tidak yakin terdapat penurunan syer pasaran itu, berdasarkan laporan BAT yang menyatakan jumlah industri rokok sah meningkat 6.6% pada 3Q20 berbanding tahun lalu. 

“Oleh itu, kami membuat kesimpulan bahawa 'vape' mungkin mengambil alih ruangan rokok haram itu,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com