Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Susulan prestasi tahun kewangan 2021 (FY21) yang lebih lemah daripada jangkaan, firma penyelidikan, MIDF Research menyemak turun unjuran keuntungan bersih YTL Corporation Berhad sebanyak 9% kepada RM161 juta bagi FY22.
Bagaimanapun, unjuran keuntungan bersih untuk FY23 ditingkatkan 13% kepada RM181 juta, menurut penganalisisnya, Hafriz Hezry.
Ujar beliau, semak naik itu dijangka disokong oleh sumbangan daripada loji tenaga syal Attarat Jordan yang diramalkan beroperasi sepenuhnya pada separuh kedua tahun 2021 (2H21).
“Kekal saranan ‘beli’ (saham YTL). Walaupun unjuran perolehan disemak turun, namun harga sasaran (TP) kami sebahagian besarnya tidak berubah pada kadar RM0.76.
“Dalam pada itu, walaupun prestasi perolehan yang lebih lemah, di mana terutamanya disebabkan oleh impak daripada ‘lockdown’, namun segmen utiliti dan simen YTL menunjukkan pemulihan asas yang mampan,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.
YTL mencatatkan kerugian utama RM106 juta pada suku keempat 2021 (4Q21), menjadikan kerugian bersih bagi sepanjang FY21 mencecah RM66 juta.
Walaupun kadar kerugian menguncup berbanding FY20, namun bagi Hafriz, prestasi itu lebih rendah daripada unjuran firmanya dan konsensus, masing-masing meramalkan keuntungan bersih RM52 juta dan RM56 juta.
Senada itu, CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan ‘tambah’ saham YTL dengan TP ditingkatkan kepada RM0.84 sesaham.
Ini selepas firma itu mengambil kira modal pasaran unit yang tersenarai dan TP lebih tinggi untuk YTL Power, jelas penganalisisnya, Sharizan Rosely. - DagangNews.com