Pengedaran barangan perlu diperluas ke 137 kawasan baharu - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Pengedaran barangan perlu diperluas ke 137 kawasan baharu - KPDNHEP

Alexander Nanta Linggi

Alexander Nanta Linggi

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  mengenal pasti 137 kawasan pengedaran baharu untuk Program Pengedaran Barangan Keperluan Asas, LPG dan Community Drumming untuk tahun 2021.

 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kawasan baharu itu termasuk negeri Terengganu dan Pahang terutamanya ke pulau-pulau seperti Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

 

"Beberapa kawasan baharu di Sabah dan Sarawak juga telah dikenalpasti bagi pelaksanaan program ini.

 

"Dalam pada itu, pelantikan syarikat bagi tahun 2021 akan dilaksanakan menggunakan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan. 

 

"SOP tersebut menggariskan tatacara perolehan yang mengambil prinsip tender terbuka yang mana iklan tawaran akan dikeluarkan bagi mempelawa syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berminat untuk memohon sebagai transporter.  Proses lantikan dijangka selesai pada April 2021," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Program yang dilaksanakan sejak tahun 2009 itu telah berjaya membantu masyarakat luar bandar menikmati tujuh barangan asas iaitu beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel pada harga yang dikawal.

 

Perkhidmatan pengedaran barang keperluan asas dilaksanakan oleh transporter yang dilantik.

 

Transporter tersebut membeli bekalan barang keperluan asas dari pembekal di bandar, menghantar dan menjual bekalan kepada Point of Sales (POS) di kawasan pengedaran.

 

Bagi tahun 2021, kerajaan telah meluluskan program ini dengan peruntukan berjumlah RM200 juta iaitu pertambahan sebanyak RM50 juta atau kenaikan sebanyak 33% berbanding RM150 juta pada tahun 2020. 

 

Tambah beliau, bagi mengelakkan bekalan dari terputus sementara menunggu pelantikan syarikat transporters baharu, kementeriannya bersetuju untuk melanjutkan kontrak syarikat transporters sedia ada sehingga 30 April 2021.

 

"Kementerian telah mengeluarkan arahan kepada 151 syarikat yang dilanjutkan kontrak untuk melaksanakan perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari 2021.

 

"Kementerian memberi jaminan bekalan barangan keperluan akan dapat terus dibekalkan kepada penduduk dengan perlanjutan kontrak syarikat sedia ada ini.

 

"Kementerian berharap program ini dapat meringankan beban penduduk-penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak mengharungi waktu yang sukar menghadapi wabak pandemik COVID-19," jelas beliau lagi. - DagangNews.com