KUALA LUMPUR 30 Jun - Affin Hwang Capital menjangkakan penggabungan operasi telekomunikasi Axiata Group Berhad dan Digi.Com Berhad bakal mewujudkan sinergi skala besar yang akan menjimatkan modal perbelanjaan (capex) dan perolehan serta kos yang optimum.
Firma itu berkata, Axiata pada Jun 2021 berkongsi anggaran pertambahan nilai sebanyak RM8 bilion melalui sinergi kos dan belanjawan, termasuk penjimatan daripada belanjawan dan perbelanjaan berkaitan rangkaian.
"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan penjimatan capex dan opex (perbelanjaan operasi) pada tahun-tahun sebelumnya agak kecil.
"Kami optimis mengenai cadangan penggabungan itu dan kami juga positif dengan kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya dalam satu mota kajian, hari ini.
Terdahulu, Axiata dan Digi mengumumkan mereka telah menerima lampu hijau daripada MCMC untuk meneruskan cabarangan penggabungan operasi telekomunikasi mereka.
Permohonan penggabungan itu telah dikemukakan kepada SKMM pada Julai 2021.
BACA JUGA: Penggabungan Celcom-Digi percepat aspirasi digital negara, beri manfaat untuk semua
Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' terhadap Digi dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.80 dan 'pegang' terhadap Axiata dengan TP RM3.40.
"Pada pandangan kami, pemegang saham Digi adalah penerima manfaat lagsung daripada penggabungan itu.
"Kami juga berhati-hati dengan prospek pendapatan 2022-2023 Axiata berikutan risiko pengawalseliaan dalam beberapa pasaran, peningkatan kadar faedah dan ketidaktentuan dalam pertumbuhan ekonomi serantau," katanya. - DagangNews.com