Penggunaan elektrik diunjur meningkat 1.8% di Semenanjung Malaysia pada 2023 dan 2024 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Penggunaan elektrik diunjur meningkat 1.8% di Semenanjung Malaysia pada 2023 dan 2024 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - Kenanga Research mengunjurkan kadar pertumbuhan penggunaan elektrik tahunan meningkat sebanyak 1.8% di Semenanjung Malaysia pada 2023 dan 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan itu sebahagian besarnya didorong pemulihan dalam sektor perindustrian berbanding unjuran 1.7% sebelum ini di bawah Tempoh Kawal Selia 2022-2024 (RP3).   

 

Bagaimanapun, jumlah itu boleh meningkat di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) sepanjang 2025 hingga 2027 didorong oleh pembukaan lima pusat data baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

"Pusat data ini akan menggunakan kira-kira 2,000MW elektrik (berbanding kapasiti pemasangan domestik semasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 18,183MW) dengan TNB berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkannya memandangkan margin simpanannya sebanyak 40%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, penarikan balik larangan eksport ke atas tenaga boleh diperbaharui (RE) dan penubuhan pertukaran elektrik berpusat yang dikendalikan oleh pengagregat pasaran tunggal untuk memastikan ketelusan harga akan memberikan dorongan pertumbuhan selanjutnya kepada sektor RE domestik.

 

Katanya, TNB akan mendapat manfaat daripada penjanaan terutamanya solar serta penjanaan semula loji janakuasa Paka dan Kapar kepada loji bertenaga hidrogen, dan pelaburan dalam infrastruktur grid untuk penghantaran dan pengedaran RE yang memperoleh pulangan terkawal.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor utiliti. 

 

Mereka terus menyukai sektor ini kerana pertahanan pendapatannya, terutamanya disebabkan model asas aset terkawal mereka, dan oleh itu hasil dividen yang baik berulang sebanyak 4%-6% untuk pencari hasil.

 

"Pilihan utama kami adalah TNB kerana penguasaannya dalam penjanaan tenaga, penghantaran dan pengedaran kuasa di Malaysia, pendapatan defensif yang  menyokong ekonomi domestik dan aset yang berdaya tahan yang sebahagian besarnya dikawal dan status saham berkaitan indeks wajaran tinggi.

 

"Kami juga menyukai YTL Power didorong prospek pendapatan jangka pendek PowerSeraya yang teguh dan prospek pertumbuhan jangka panjangnya didorong oleh pusat data serta usaha niaga perbankan digitalnya," katanya. - DagangNews.com