KUALA LUMPUR 19 Julai - Kenanga Research menjangkakan pengiklan akan terus beralih daripada media tradisional kepada periklanan digital selepas melihat keberkesanannya semasa musim pandemik COVID-19.
Firma itu berkata, pemulihan perbelanjaan periklanan (adex) adalah terhad kepada segmen digital berbanding media tradisional.
"Kami menjangkakan 2H22 akan menjadi lebih kukuh disokong oleh penyiaran acara sukan seperti Piala Dunia yang dijangka menarik lebih banyak iklan di televisyen dan kempen cuti hujung tahun.
"Bagaimanapun, kami masih berhati-hati dengan kenaikan kos kandungan (terutama acara sukan) serta pengurangan pengiklanan barangan mewah kerana kenaikan kadar inflasi yang tinggi di dalam pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Menurut data Nielsen, firma itu berkata, secara keseluruhan adex berkembang kepada RM1.5 bilion daripada RM1.4 bilion selaras dengan peralihan negara dari fasa pandemik ke fasa endemik.
Siaran digital yang kini merupakan segmen media kedua terbesar meneruskan perkembangan positif dengan peningkatan adex sebanyak 55% dari tahun ke tahun (YOY).
"Secara keseluruhan, perbelanjaan adex saluran televisyen percuma menurun sebanyak 8.5% manakala pawagam menunjukkan pemulihan adex melebihi 100% kepada RM23.1 juta dan radio menunjukkan peningkatan sebanyak 7.5%.
"Adex untuk akhbar tidak menunjukkan sebarang perkembangan," katanya.
Firma itu berkata, penurunan adex yang dicatatkan itu secara keseluruhan adalah seperti yang dijangkakan.
Katanya, pendapatan 1QCY22 melebihi angka pra pandemik kerana pengiklan menunjukkan minat baharu untuk berbelanja berikutan penarikan balik sekatan pergerakan.
"Kami terus menggemari Media (outperform, TP: 74 sen) kerana saluran Omnia mereka yang sangat popular dalam kalangan pengiklan memandangkan keupayaannya untuk menawarkan penyelesaian iklan bersepadu," katanya. - DagangNews.com