Penglibatan dalam sektor tenaga solar kukuhkan prospek jangka panjang Uzma | DagangNews Skip to main content

Penglibatan dalam sektor tenaga solar kukuhkan prospek jangka panjang Uzma

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Langkah Uzma Berhad dalam mempelbagaikan perniagaannya ke dalam sektor tenaga solar akan mengukuhkan lagi prospek jangka panjangnya.

 

Kenanga Research berkata, selain tenaga solar, kumpulan itu juga akan menerima manfaat daripada pemulihan sektor minyak dan gas tempatan.

 

"Bagaimanapun, mereka tetap berhadapan pelbagai risiko termasuk harga minyak yang tidak stabil yang boleh menjejaskan aktiviti minyak dan gas selain peningkatan kos akibat penangguhan projek.

 

"Kumpulan itu juga berdepan risiko kenaikan harga input," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras kumpulan bagi FY22 sebanyak RM13 juta mengatasi jangkaan, melebihi unjuran firma itu dan anggaran konsensus masing-masing sebanyak 55% dan 75%.

 

Kejayaan itu sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan kerja lebih tinggi yang dilaksanakan.

 

Pendapatan teras FY22 merosot 46% disebabkan oleh peningkatan kos dan kerugian permulaan projek.

 

Hasil daripada perniagaan tenaga solar dijangka memberikan hasih bermula FY23 dan seterusnya.

 

Firma itu menyukai Uzma kerana menjadi proksi kepada kenaikan harga minyak memandangkan tumpuannya dalam segmen brownfield selain penyediaan pelbagai perkhidmatan seperti telaga, peningkatan pengeluaran minyak, serta operasi dan penyelenggaraan lewat hayat

 

"Sehingga kini tempahan kumpulan berada pada paras RM2.5 bilion untuk segmen minyak dan gas manakala perniagaan solar mempunyai tempahan kumulatif sebanyak RM950 juta dan kami menjangkakan perniagaan solar menyumbang antara 5% hingga 10% bagi hasil FY23-24," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak 58 sen berbanding 54 sen. - DagangNews.com