ALOR SETAR 1 Sept - Perkhidmatan bas shuttle percuma MARA Liner akan disediakan kepada pengunjung sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang akan berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman di sini pada 2 hingga 4 Sept ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pergerakan bas itu bermula dari 9 pagi hingga 9 malam yang melibatkan dua laluan iaitu dari Stesen Bas Shahab Perdana dan Pekan Rabu di sini.
“Laluan bas dari Stesen Bas Shahab Perdana dan Pekan Rabu ini yang masing-masing ada sebuah bas akan bergerak ke Stadium Darul Aman setiap sejam sekali,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Mahdzir berkata, bas percuma itu disediakan untuk memudahkan pergerakan pengunjung ke jelajah berkenaan sekali gus dapat mengatasi kesesakan lalu lintas dan menjimatkan masa mencari tempat letak kereta di kawasan sekitar stadium tersebut.
Untuk rekod, pelbagai program menarik disediakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai Kementerian Peneraju sempena Jelajah AKM Kedah itu yang antaranya terdapat penganjuran Pavilion Usahawan Desa @ KPLB.
Ia menyediakan ruangan untuk memasarkan pelbagai produk jualan usahawan bimbingan agensi di bawah KPLB dan sebuah bistro sebagai satu tarikan pengunjung untuk menikmati makanan dan minuman yang dihasilkan usahawan luar bandar iaitu RBC Bistro.
Selain itu, pengunjung Jelajah AKM Kedah juga berpeluang membuat pembelian seekor ayam dan beras lima kilogram dengan harga lebih murah sebanyak RM10 sahaja selain Karnival Kerjaya Jamin Kerja yang menawarkan lebih 4,000 kekosongan jawatan sempena jelajah itu. - DagangNews.com