Pengunjung teruja terokai alam dinosaur secara VR di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah | DagangNews Skip to main content

Pengunjung teruja terokai alam dinosaur secara VR di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah

Aktiviti penerokaan alam dinosaur menerusi pendekatan realiti maya (VR) antara yang menjadi tumpuan pengunjung sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di pekarangan Stadium Darul Aman, Kedah pada 2 September 2022.
Oleh MOHAMAD IMAN

ALOR SETAR 2 Sept - Aktiviti penerokaan alam dinosaur menerusi pendekatan realiti maya (VR) antara yang menjadi tumpuan pengunjung sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung cukup meriah di pekarangan Stadium Darul Aman, Kedah.

 

Para pengunjung dapat merasai pengalaman tersebut dengan mengunjungi booth Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang menyediakan aktiviti berkenaan dan pelbagai lagi.

 

Pembantu Pustakawan Unit Mediatheque Finas, Anna Syuhaida Ismail berkata, bersempena AKM Kedah kali ini, pengunjung berusia lima tahun ke atas berpeluang merasai pengalaman melihat imej bergerak menggunakan teknologi VR yang semakin berkembang pesat.

 

Katanya, permainan VR sememangnya menjadi tarikan pengunjung dalam setiap siri penganjuran AKM memandangkan ia menawarkan pengalaman baharu.

 

“Ramai orang tidak pernah merasai pengalaman bagi melihat imej bergerak menerusi VR ini, jadi kita cuba membuka peluang kepada mereka yang berkunjung ke booth Finas sepanjang tiga hari AKM Kedah ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, Anna berkata, orang ramai yang ingin merasai pengalaman lebih menerujakan selain daripada teknologi VR ini juga boleh berkunjung ke Museum Of Moving Image (MOMI@FINAS) di Petaling Jaya, Selangor selepas ini bagi melihat pelbagai lagi koleksi dan peralatan zaman dahulu.

 

Katanya, semua peralatan lama seperti kamera dan koleksi-koleksi artis veteran turut dipamerkan di sana buat tatapan pengunjung.

 

 

AKM

 

 

AKM
Anna Syuhaida Ismail

 

 

“Jadi pengunjung yang datang ke reruai Finas hari ini boleh ke muzium itu sekiranya ingin merasai pengalaman berbeza yang lebih menarik daripada kebiasaan,” katanya.

 

 

AKM

 

 

Tambahnya, orang ramai yang ingin merasai pengalaman menggunakan teknologi VR boleh berkunjung ke booth Finas sepanjang AKM Kedah kali ini bagi melihat sendiri kaedah penggunaannya.

 

“Berdasarkan beberapa siri AKM sebelum ini, permainan VR ini sememangnya sangat mencuri tumpuan pengunjung yang ingin melihat dengan lebih dekat cara menggunakan peralatan itu,” katanya. - DagangNews.com