Pengurangan buruh asing, MTUC dakwa tiada rundingan dengan NLAC | DagangNews Skip to main content

Pengurangan buruh asing, MTUC dakwa tiada rundingan dengan NLAC

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Langkah kerajaan untuk mengehadkan pengambilan buruh asing kepada tiga sektor iaitu pembinaan, pertanian dan perladangan didakwa dilaksanakan tanpa rundingan Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

Dakwa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kementerian Sumber Manusia juga tidak meminta maklum balas daripada pihaknya mahupun Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF). 

Sehubungan itu, Setiausaha Agung MTUC, J.Solomon meminta kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan tersebut dan mengadakan perbincangan dengan NLAC mengikut konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 144.

“Kementerian Sumber Manusia sepatutnya berbincang dengan NLAC terlebih dahulu untuk mencari penyelesaian praktikal dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh asing sekali gus menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan.

“Malangnya, tiada rundingan dilaksanakan dan kementerian kini terpaksa menangani masalah buruh yang dihadapi sektor utama termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ketika mereka masih berusaha untuk pulih akibat COVID-19,” kata Solomon dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia telah menetapkan dasar pengambilan pekerja asing untuk dihadkan kepada tiga sektor sahaja iaitu pembinaan, pertanian dan perladangan. 

Baca : Pengambilan buruh asing dihadkan dalam tiga sektor sahaja

Langkah itu diambil bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di samping mengurangkan jumlah buruh asing yang kini mencecah 2 juta orang.

Dalam pada itu, Solomon turut menyelar tindakan kerajaan untuk menyekat buruh asing dalam sektor 'dangerous', 'difficult' dan 'dirty' (3D), dengan jangkaan bahawa rakyat Malaysia bersedia dan berani untuk bekerja dalam sektor itu. 

“MTUC menganggap pandangan ini tidak lebih daripada sebuah mimpi. Maklum balas kami menunjukkan rakyat Malaysia akan mengambil pekerjaan yang dikosongkan oleh buruh asing sekiranya ditawarkan gaji dan faedah lebih baik. 

“Ini bukan menunjukkan sikap negatif tenaga kerja tempatan, tetapi hanya berdasarkan keperluan mereka untuk menampung diri dan keluarga memandangkan kos sara hidup tinggi dan semakan semula garis kemiskinan yang dilakukan baru-baru ini,” tambah beliau.

Katanya lagi, menyekat buruh asing dalam sektor-sektor lain akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara sekiranya kerajaan gagal menangani isu dasar yang memerlukan perbincangan dengan pihak berkepentingan. - DagangNews.com