KUALA LUMPUR 3 Okt - MIDF Research positif terhadap sektor pembinaan didorong peningkatan dalam aliran pekerjaan daripada inisiatif Bajet 2023 serta Bajet 2024 yang akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, selepas berakhirnya pilihan raya negeri pada 23 Ogos lalu, orang ramai mengharapkan lebih banyak komitmen daripada penggubal dasar dari segi pelancaran projek, terutamanya projek infrastruktur seperti jalan raya dan tebatan banjir.
"Kami juga memantau perkembangan di Sarawak, yang akan mendapat manfaat daripada pembangunan untuk meningkatkan kesalinghubungannya, yang penting kerana ia merupakan salah satu pintu masuk utama ke Nusantara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
MIDF Research bagaimanapun tidak menjangkakan sebarang projek mega dilancarkan pada tahun ini.
MRT Corp baru-baru ini telah melanjutkan tempoh sah tender untuk pakej MRT3 sehingga akhir 2023, dengan Gamuda, IJM Corp dan MRCB menjadi pendahulu bagi mendapatkan projek itu.
Pemberian tender ditangguhkan sejak Disember 2022 kerana semakan kos oleh kerajaan bagi menurunkan harga sebanyak 10% daripada RM50 bilion kepada RM45 bilion dengan RM8 bilion hingga RM10 bilion adalah untuk pengambilalihan tanah.
"Projek MRT3 kekal sebagai pembangunan penting kepada sektor pembinaan dan kami menjangkakan ia akan dilancarkan menjelang suku pertama 2024.
"Bagi projek LRT Pulau Pinang pula, garis masanya masih tidak jelas buat masa ini," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, kelewatan projek boleh dijangka disebabkan oleh kajian kebolehlaksanaan dan pertimbangan semula kos oleh Kerajaan Persekutuan kerana kos itu mungkin meningkat tiga kali ganda berbanding jumlah awal sebanyak RM10 bilion.
"Kontraktor kekal yakin dengan prospek masa depan, dengan aliran kerja dijangka daripada pusat data, gudang logistik dan kilang semikonduktor," katanya.
Pilihan utama untuk sektor itu ialah Gamuda (beli, TP: RM5.38) kerana kunci kira-kira dan buku pesanan yang kukuh selain itu IJM Corp (beli, TP: RM2.11) dan Sunway Construction (beli, TP: RM2.09).
Firma penyelidikan itu juga memilih Malayan Cement (beli, TP: RM4.50), sebagai penerima manfaat langsung daripada sektor ini. - DagangNews.com