Peningkatan permintaan pakaian dijangka dorong peningkatan hasil Magni-Tech bagi 2023, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Peningkatan permintaan pakaian dijangka dorong peningkatan hasil Magni-Tech bagi 2023, kata PublicInvest

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Magni-Tech Industries Berhad diunjur merekodkan hasil yang lebih baik pada 2023 didorong permintaan tinggi untuk pakaian kesan daripada kesedaran masyarakat untuk meningkatkan kesejahteraan hidup.

 

PublicInvest Research berkata, ia juga disokong oleh penganjuran Piala Dunia 2022.

 

"Kami percaya bahawa eksport ke China akan pulih pada masa hadapan dengan China melonggarkan sekatan COVID-19. 

 

"Kami berpendapat bahawa penilaian semasa kumpulan dilihat menarik kerana ia didagangkan pada c.6.5x PER berhampiran -1SD daripada purata sejarah tiga tahunnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM25.1 juta pada 2QFY23 berbanding kerugian bersih teras sebanyak RM200,000 pada 2QFY22.

 

Firma itu berkata, keuntungan bersih teras terkumpul 1HFY23 sebanyak RM48.1 juta adalah di bawah jangkaan tetapi ia merangkumi 43% daripada ramalan setahun penuh.

 

Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan FY23-FY25 sebanyak purata 12% untuk selepas mengambil kira margin keuntungan yang lebih lemah akibat peningkatan kos operasi (kos buruh) dan pertumbuhan pendapatan jangka pendek yang lebih perlahan berikutan tekanan inflasi yang meningkat.

 

"Namun begitu, kami masih positif terhadap prospek jangka panjang kumpulan didorong oleh peningkatan kesedaran pengguna terhadap penjagaan kesihatan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM2.35 sesaham. - DagangNews.com