Penjana Kapital buka ‘permintaan cadangan’ pilih pengurus dana | DagangNews Skip to main content

Penjana Kapital buka ‘permintaan cadangan’ pilih pengurus dana

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Syarikat yang menguruskan Dana Penjana Nasional, Penjana Kapital Sdn. Bhd. (Penjana Kapital) membuka proses permintaan cadangan (RFP) untuk memilih pengurus modal usaha niaga (venture).

Penjana Kapital berkata, cadangan itu perlu menunjukkan antara lainnya pengetahuan luas ekosistem teknologi termasuk Malaysia, proses dan strategi pelaburan bersesuaian, cadangan pengembangan bakat dan program pemindahan pengetahuan yang akan dijalankan.

“Pemohon perlulah mempunyai rekod prestasi dana semasa atau sebelum dan keupayaan melaksanakan pembiayaan awam. 

“Cadangan itu perlu menunjukkan bagaimana ia mampu menawarkan faedah nyata terhadap ekonomi Malaysia,” kata Penjana Kapital dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah menubuhkan Penjana Kapital Sdn. Bhd. khas untuk menguruskan Dana Penjana Nasional dengan lebih berkesan.

Baca : Dana Penjana Nasional kini diurus oleh syarikat Penjana Kapital 

Penjana Kapital ditadbir urus oleh lembaga pengarah khas dan panel pelaburan yang dilantik bagi memastikan ketelusan serta mengagihkan dana berkenaan.

Lembaga pengarah tersebut terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, pemain industri serta sektor swasta dan agensi berkaitan. 

Proses RFP itu akan dimulakan dengan menerima penghantaran bermula hari ini dan tarikh akhir pada 25 September 2020, pukul 5 petang.

Di bawah perasmian Dana Penjana Nasional, Penjana Kapital dan calon terpilih akan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion dana (RM600 juta daripada Dana Penjana Nasional) di seluruh kitaran modal usaha niaga terpilih.

Butiran penuh RFP disiarkan dalam laman web Penjana Kapital bermula hari ini, www.penjanakapital.com.my dan sebarang persoalan boleh menghubungi e-mel enquiry@penjanakapital.com.my. - DagangNews.com