Penjenamaan semula Pernas disambut positif | DagangNews Skip to main content

Penjenamaan semula Pernas disambut positif

Dato' Sri Norolazali Sulaiman

 

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUANTAN 21 Jun - Penjemaan semula Perbadanan Nasional Berhad dari PNS kepada Pernas, disambut positif sebagai satu iltizam lebih teguh dalam pengembangan industri francais di Malaysia.

 

Penasihat dan bekas Ketua Eksekutif Persatuan Francais Malaysia (MFA), Dato' Sri Norolazali Sulaiman berkata, sebagai entiti kerajaan Pernas memiliki capaian yang cukup penting untuk direalisasikan bagi memajukan industri francais.

 

Menerusi pendekatan market engagement, kata beliau, Pernas boleh menjalin hubungan erat dan mendapatkan input-input daripada industri secara lebih sistematik dan berkala melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yangg berkaitan.

 

"Aspek ini menjadi lebih genting sekarang ini, di masa semua jenis perniagaan berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan pimpinan Pernas juga diharapkan bagi membimbing usahawan francais menyusun serta memulihkan perniagaan mereka," katanya kepada DagangNews hari ini.

 

Norolazali merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Guai, telah terlibat secara aktif di dalam industri francais sejak 1990-an.

 

Beliau mengulas pengumuman Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengenai penjemaan semula Perbadanan Nasional Berhad, yang melibatkan pertukaran akronim dan logo dari PNS kepada Pernas, hari ini.

Pernas

Menurut Norolazali lagi, antara isu yang boleh diberi tumpuan Pernas ialah Big data dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) francais yang mesti dijadikan agenda utama.

 

Menurut beliau, pastinya banyak pengalaman dan pembelajaran selama ini, sejak Program Pembangunan Francais (PPF) diwujudkan bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri pada 1992 yang boleh dikongsi dan diguna pakai bagi membangunkan francais.

 

Katanya, pendekatan yang sering digunakan sekarang ialah menjadikan industri francais di luar negara sebagai contoh, walaupun wujud jenama-jenama francais tempatan yang sudah bertapak teguh.

 

"Butiran seperti cabaran mengusahakan francais seperti berapa lama hendak mendapatkan pulangan modal, aspek perlesenan dan perbankan di Malaysia tidak sama dengan di luar negara. Ini perlu diperjelaskan," katanya.

 

Norolazali berkata, francais bukan sahaja patut dilihat sebagai strategi pembangunan usahawan semata-mata tetapi ia perlu diberi perhatian sebagai enjin pembangunan ekonomi yang inovatif sepanjang zaman.

 

“Ini kerana francais adalah berkaitan dan pembangunan sistem perniagaan yang berterusan, kecekapan kerja, produktiviti, harta intelek, perdagangan antarabangsa dan sebagainya,” ujar beliau.

 

Selain itu kata beliau lagi, peranan yang jelas harus dimainkan antara MEDAC dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar tidak wujud pertindihan peranan antara kedia-dua kementerian tersebut. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI : PNS kini dinamakan Pernas, perkukuh kedudukan jadi peneraju industri francais