Penstrukturan BHB, buka nilai Bank Islam - Firma | DagangNews Skip to main content

Penstrukturan BHB, buka nilai Bank Islam - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 15 April - Langkah penstrukturan BIMB Holdings Berhad (BHB) yang dijangka selesai Ogos ini dijangka membuka nilai kepada Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam), menurut CGS-CIMB. 

 

Malah, firma itu juga positif terhadap langkah tersebut meskipun terdapat potensi kecairan pendapatan sesaham (EPS) daripada penempatan persendirian. 

 

Pada Selasa, BHB mengumumkan penempatan sahamnya dengan menerbitkan 222.22 juta saham baharu yang akan menjana modal kira-kira RM795.6 juta.

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, penempatan persendirian itu adalah sebahagian daripada penstrukturan kumpulan secara meluas yang turut membabitkan keseluruhan agihan saham BHB kepada Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga (STMK) kepada pemegang saham.

 

Selain itu, katanya, ia akan menyaksikan Bank Islam mengambil alih status penyenaraian BHB di papan utama. 

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat, penurunan saham BHB sebanyak 10.5% sejak 26 Mac lalu adalah satu peluang pembelian terutama apabila ia sedang melaksanakan langkah penstrukturan yang mana akan membuka nilai kepada Bank Islam," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB menaik taraf saranan BHB daripada 'pegang' kepada 'tambah'. 

 

Ini berdasarkan kepada potensi penilaian semula saham Bank Islam yang lebih tinggi (yang akan diagihkan kepada pemegang saham BHB) apabila ia mengambil alih status penyenaraian pada Ogos ini, jelasnya. 

 

Baca : BHB terbit 222.22 juta saham baharu dijangka raih dana RM795.6 juta

 

Pada 1 April lalu, para pemegang saham dan waran BHB telah meluluskan cadangan penstrukturan semula kumpulan yang dibuat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa dan Mesyuarat yang Diarahkan oleh Mahkamah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, susulan itu, kumpulan berhasrat mengatur langkah yang lebih berkesan dalam bidang kewangan Islam dengan Bank Islam di tampuk teraju sebagai satu-satunya institusi kewangan Islam lengkap yang tersenarai.

 

BHB sebelum ini menjelaskan bahawa cadangan penstrukturan itu akan membabitkan 5 komponen yang terdiri daripada cadangan penempatan saham BHB baharu bagi mengumpul dana bernilai RM800 juta.

 

Hasil daripada usaha itu bersama-sama tunai dalaman akan digunakan untuk penyelesaian penuh baki sukuk yang dipegang oleh Lembaga Tabung Haji.

 

Bank Islam kali pertama disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1992, sebelum BHB diwujudkan pada 1997 bagi menggantikan Bank Islam sebagai syarikat pemegangan kumpulan.

 

Sementara itu, dalam taklimat secara maya dengan Ketua Pegawai Kewangan BHB, Azizan Abd. Aziz dan pelabur baru-baru ini, CGS-CIMB positif terhadap komitmen BHB untuk memperkukuhkan portfolio Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) meskipun terdapat ruang untuk penambahbaikan.

 

Sebagai bank Islam yang mematuhi prinsip syariah, ESG menjadi keutamaan dalam agenda strategi BHB dan merupakan sebahagian daripada perancangan strategik kumpulan. 

 

Winson berkata, dalam kalangan inisiatif ESG, BHB menyasarkan untuk meningkatkan peruntukan bagi pembiayaan hijau daripada 4% pada tahun lalu kepada 10 hingga 12% bagi tempoh 3 tahun akan datang. 

 

Katanya, ini mencerminkan peningkatan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 45 hingga 54% bagi pembiayaan hijau untuk tahun kewangan 2020 hingga 2023. 

 

"Dalam pada itu, kami juga bersetuju dengan pandangan BHB bahawa peminjam dengan standard ESG yang tinggi akan mengurangkan risiko kredit dalam tempoh jangka masa panjang," jelasnya.

 

Beliau juga berpandangan, BHB akan menjadi penerima manfaat terbesar sekiranya kadar dasar semalaman (OPR) pada tahun kewangan 2022. 

 

Firma itu mengekalkan harga sasaran BHB pada RM4.55 sesaham. - DagangNews.com