Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Walaupun penemuan percubaan vaksin COVID-19 mungkin membawa ‘kegembiraan’ buat penggiat industri penerbangan lain, tetapi tidak untuk AirAsia X Berhad.
Syarikat penerbangan itu tersekat dalam ‘kemarau kewangan’, menjadikan langkah penstrukturan hutang serta kutipan dana ibarat talian hayat untuk menjamin operasi AirAsia X terus bertahan.
AirAsia X masih dalam tempoh hibernasi, dengan operasi penerbangan pula digantung sejak April lalu.
Ketika masih tersempit dengan isu kekangan kewangan, AirAsia X telah mencatatkan kerugian lebih besar bagi prestasi kewangan suku ketiga 2020 (3Q20) sehingga RM308.52 juta.
Hasil syarikat pula sebaliknya hanya mencatatkan RM59.9 juta pada suku tahun yang sama.
“Kami sangat gembira terhadap keberkesanan vaksin oleh Pfizer dan Moderna baru-baru ini. Secara umumnya, industri penerbangan dijangka melonjak semula apabila sekatan perjalanan tiada dan perjalanan udara pula dapat dimulakan.
“Tetapi ketika ini, kami fikir ia akan memakan masa banyak bulan sebelum perjalanan udara dapat kembali semula mencapai paras sebelum COVID-19 yang cukup untuk menyelamatkan industri itu daripada kerugian berterusan.
“Bagi AirAsia X, isunya lebih besar iaitu penyelesaian penstrukturan hutang dan langkah kutipan dana memandangkan ‘nyawa’ syarikat itu bergantung tinggi kepada hasil kedua-duanya. Setelah selesai, kami berpendapat syarikat itu akan berada dalam kedudukan selesa dengan beban yang kurang dalam kunci kira-kira mereka,” kata CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya.
Tanpanya, masa depan AirAsia X sebagai sebuah syarikat penerbangan tidak pasti, tegas CGS-CIMB.
AirAsia X tidak dapat melaksanakan langkah mengumpul dana selagi penstrukturan hutangnya belum selesai.
Syarikat penerbangan itu masih dalam proses penstrukturan hutang di mana bakal menyaksikan sejumlah kredit RM63.5 bilion cuba diturunkan kepada RM200 juta.
Selain hasrat berkenaan, AirAsia X juga merancang untuk mengurangkan sebanyak 90% daripada modal terbitan saham dan menggabungkan setiap 10 saham biasa sedia ada ke dalam satu saham.
Oleh itu, Bursa Malaysia telah memberi penangguhan sehingga 6 Januari 2021 untuk syarikat penerbangan berkenaan menghantar permohonan bagi cadangan penggabungan saham itu.
Setelah selesai langkah penstrukturan hutang, AirAsia X berhasrat mengumpul dana sehingga RM500 juta untuk memulakan operasinya.
Kerugian, hutang serta isu yang dihadapi oleh syarikat itu perlu ditanggung sendiri setelah Kumpulan AirAsia mengeluar kata putus untuk tidak campur tangan perkara berkenaan.
Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB menurunkan penarafan saham AirAsia X kepada ‘jual’ dengan sasaran harga tidak berubah, RM0.05. - DagangNews.com