Penstrukturan hutang Malaysia Airlines dijangka selesai suku pertama 2021 | DagangNews Skip to main content

Penstrukturan hutang Malaysia Airlines dijangka selesai suku pertama 2021

 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd., dijangka melengkapkan penstrukturan hutangnya pada suku pertama tahun ini. 

 

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, MAG sedang meninjau untuk menggunakan Skim Pengaturan UK untuk melengkapkan proses tersebut yang kini berada di peringkat akhir penstrukturan tersebut

 

Katanya, ketika ini, pihaknya sedang menunggu pengesahan daripada majoriti kecil pemiutang. 

 

"Kami telah mencapai kemajuan yang baik dengan sokongan penuh majoriti daripada pemiutang bagi perjanjian bersama. 

 

"Sehubungan itu, MAG yakin ia akan mencapai situasi menang-menang dengan semua pemiutang terlibat dan bersedia melaksanakan pelan perniagaan jangka panjang bersama rakan-rakan perniagaan," katanya. 

 

Malaysia Airlines pada awal Oktober lalu melaksanakan proses kecemasan penyusunan semula perniagaan dan modalnya dengan mengkaji Rancangan Perniagaan Jangka Panjang (LTBP) dalam usaha memastikan kesesuaian dan kelangsungan kumpulan yang terkesan oleh penularan COVID-19.

 

Pada pertengahan Disember lalu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd. Rahim Bakri berkata, setakat 31 Ogos 2020, jumlah kecairan yang dimiliki MAG adalah sekitar RM366 juta selain kira-kira RM578 juta yang tersedia untuk digunakan daripada dana yang diperuntukkan oleh Khazanah.

 

Sebelum pandemik COVID-19, kedudukan kewangan Malaysia Airlines didapati telah merosot yang mana prestasi kewangan MAG pada 2015 berjumlah RM1.1 bilion, RM700 juta (2016), RM1.2 bilion (2017) dan RM1.3 bilion pada 2018.

 

MAB kini beroperasi dengan kira-kira 75% daripada pesawatnya tidak dapat diterbangkan akibat sekatan perjalanan dan turut menyaksikan kapasiti dan pendapatannya terjejas.

 

Kumpulan kini sedang berunding dengan 40 pemiutang, pemajak dan pembekal utama untuk menerima tunggakan hutang mereka sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan hutang sebanyak RM16 bilion. 

 

Sebelum ini, ia telah diberi amaran melainkan mendapat kelulusan pemiutang yang memegang 75% daripada jumlah hutang, nilai ambang yang diperlukan, jika tidak mahu diisytihar bankrap. 

 

Selain Malaysia Airlines, MAG juga merupakan syarikat induk bagi FlyFirefly Sdn. Bhd., MASwings Sdn. Bhd., MAB Engineering Sdn. Bhd. dan MAB Kargo Sdn. Bhd.

 

Khazanah pada Oktober lalu dilaporkan mahu menyalur modal kepada Firefly sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional dalam memenuhi keperluan pengangkutan udara negara jika Malaysia Airlines terpaksa ditutup. - DagangNews.com