Perak terima royalti RM21.12 juta hasil jualan REC ke China sehingga September tahun ini | DagangNews Skip to main content

Perak terima royalti RM21.12 juta hasil jualan REC ke China sehingga September tahun ini

Tapak perlombongan NR-REE lantanid di Mukim Kenering, Gerik.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 5 Dis - Bayaran royalti dari China untuk projek perintis hasil pengeluaran karbonat nadir bumi (REC) daripada unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) meningkat kepada RM21.12 juta setakat September.

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kadar royalti yang dikenakan kepada pemaju projek ialah 12 peratus daripada harga jualan NR-REE.

 

“Sehingga September, pemaju projek telah menjelaskan bayaran royalti RM21,119,381.38 melalui eksport REC ke China.

 

“Selain itu, kerajaan tempatan melalui Majlis Daerah Gerik turut mengutip hasil melalui kelulusan permit perancangan yang dikeluarkan untuk aktiviti perlombongan NR-REE,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

 

Mb
Datuk Seri Saarani Mohamad.

 

Sebelum ini, Perak menerima RM16 juta bayaran royalti untuk penjualan REC kepada China.

 

Pengekstrakan REC daripada projek perlombongan NR-REE bermula pada Oktober tahun lepas di Mukim Kenering, Gerik dan mula dieksport ke China pada Februari.

 

Saarani turut menambah, Menteri Besar Incorporated (MBInc) diberi tanggungjawab untuk membangunkan Pelan Komunikasi Strategik NR-REE bagi tujuan melaksanakan projek perintis tersebut.

 

“Ia salah satu usaha untuk memastikan pembangunan industri NR-REE dapat diterima semua pihak.

 

Ree
Lawatan pegawai pelbagai agensi ke kawasan perlombongan NR-REE.

 

“Menerusi Pelan Komunikasi Strategik NR-REE, lebih 100 sesi penglibatan telah dilaksanakan meliputi pelbagai kategori termasuk lawatan tapak oleh agensi persekutuan dan ketua masyarakat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan.

 

“Ini juga termasuk lebih 100 laporan media dan artikel mengenai pelbagai platform yang telah disediakan, diselia, dianalisis dan dipantau secara berterusan,” katanya.

 

Saarani juga berkata, pelan itu mempunyai jawatankuasa komunikasi krisis yang dianggotai lebih 21 agensi berkaitan bagi memastikan program itu berjalan lancar dan dapat mengatasi kemungkinan krisis.- DagangNews.com