Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mungkin memberi impak yang ketara ke atas ekonomi global, bagaimanapun situasi tegang tersebut memberi kelebihan buat syarikat pembuatan teknologi, VS Industry Berhad (VSI).
Perkara itu dapat disaksikan melalui kerjasama terbaharu VSI menerusi anak syarikatnya, Guardian South East Asia Pte Ltd (Guardian) yang telah menandatangani perjanjian dengan Victory Innovations Company Inc (Victory Inc) untuk menghasil dan membekalkan penyembur elektrostatik tanpa wayar.
Menerusi kerjasama yang dijalinkan pada 17 Ogos lalu itu, VSI akan menyediakan perkhidmatan pembuatan, rantaian bekalan dan logistik kepada Victory Inc bersesuaian dengan spesifikasi dan pesanan pembelian yang akan ditentukan
CGS-CIMB Research berkata, pihaknya mendapati bahawa kerjasama dengan Victory Inc mungkin didorong oleh ketegangan perdagangan AS-China yang berterusan.
“Ini adalah berikutan syarikat multinasional beralih atau mempelbagaikan pangkalan pembuatan dari China dengan Asia Tenggara menerima faedah utama.
“VSI mengatakan bahawa pihaknya terus terlibat dalam pelbagai peringkat perundingan dengan sejumlah potensi pelanggan ekoran daripada pengalihan perdagangan yang berterusan dari China,” jelas laporan CGS-CIMB.
Victory Inc adalah sebuah syarikat yang berpusat di AS dan ditubuhkan pada tahun 2014, memfokuskan pada bidang peralatan aplikasi kimia dengan kerja-kerja dekontaminasi dan pembersihan.
Dalam pada itu, tiada jumlah kontrak khusus yang dinyatakan oleh VSI, tetapi CGS-CIMB berpendapat peningkatan pengeluaran mungkin akan berlaku dengan cepat memandangkan terdapat permintaan yang tinggi terhadap produk Victory Inc.
“Kami mengekalkan ramalan buat masa ini sementara menunggu maklumat lanjut daripada taklimat penganalisis yang dijadualkan esok (hari ini).
“Kami juga mengekalkan saranan ‘tambah’ saham VSI dengan sasaran harga sebanyak RM1.16. Penilaian semula pemangkin merangkumi perolehan pelanggan baharu.
“Bagaimanapun, risiko penurunan didorong oleh permintaan akhir yang lebih perlahan daripada jangkaan untuk produk pembuatannya,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com