Perang Rusia-Ukraine: Ekonomi Dunia akan terjejas teruk – Ketua Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Perang Rusia-Ukraine: Ekonomi Dunia akan terjejas teruk – Ketua Pakar Ekonomi

Ekonomi global dijangka menuju ke stagflasi iaitu inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih rendah akibat perang Rusia-Ukraine.
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 8 Mac – Krisis di antara Rusia dan Ukraine akan memberi kesan yang teruk terhadap ekonomi dunia yang sedang bergelut untuk pulih akibat dari pandemik COVID-19, kata Ketua Pakar Ekonomi, Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Katanya, landskap pasaran kewangan telah berubah secara mendadak dalam 50 hari yang lalu.

 

Justeru, ekonomi global menghadapi cabaran baharu pada 2022, iaitu kemungkinan perang nuklear di rantau Eurasia atau Baltik.

 

Katanya, konflik itu akan menyebabkan kerosakan ekonomi yang teruk kepada beberapa negara dan industri - kerosakan yang boleh membawa kesukaran kepada berjuta-juta orang.

 

“Namun Malaysia bernasib baik kerana tidak terdedah secara langsung dengan perang ini tetapi boleh merasai kesannya jika harga minyak mencecah AS$200 setong jika perang semakin meruncing.

 

‘’Inflasi boleh dijangka kerana harga minyak yang lebih tinggi memberi kesan kepada semua kelas aset di seluruh dunia dan rantau,” kata Shan kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang krisis yang melanda di antara Rusia dan Ukraine.


 

Shan Saeed
                                                   SHAN SAEED

 

 

Menurut Shan, “Kami menjangkakan ekonomi global menuju ke stagflasi iaitu inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih rendah.

 

“Bank Negara Malaysia (BNM) telah memainkan peranannya dengan baik dan mendapat banyak ruang untuk bergerak dalam struktur dasar monetari.  

 

‘’Inflasi boleh dikawal sepenuhnya melalui dasar monetari dan fiskal yang berkesan dengan menaikkan kadar diskaun dan kenaikan nilai ringgit,’’ ujar beliau.

 

Menurut BNM ringgit menambah nilai sebanyak 0.3% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat pada suku keempat 2021.

 

Ini disokong oleh sentimen yang bertambah baik berikutan pelonggaran langkah sekatan berkaitan COVID-19 dan pemberian vaksin penggalak COVID-19 yang dipercepat.

 

Shan berkata beliau yakin dengan BNM kerana bank pusat itu mempunyai dasar yang berkesan untuk mengawal paras harga.

 

“Secara keseluruhannya, BNM telah melaksanakan tugas yang baik dari segi harga, pertumbuhan dan kestabilan pasaran kewangan dalam tempoh 5-10 tahun yang lalu.

 

“Harga komoditi yang lebih tinggi, pelaburan yang meningkat dan penggunaan yang kukuh akan mengekalkan KDNK dalam lonjakan antara 4 dan 5% pada 2022,’’ jelas beliau.

 

Berbalik kepada krisis antara kedua negara yang bergolak, Shan berkata disebabkan pergolakan itu,  pasaran kewangan dunia berada di tempat yang tidak menentu.

 

 

ukraine

 

 

Beliau meramalkan tiga kos ekonomi yang berkaitan dengan perang ini iaitu KDNK yang lebih rendah dijangka,  Kekangan bekalan komoditi dan harga minyak yang lebih tinggi membawa kepada kemelesetan yang mendalam.

 

“Dengan sekatan yang dikenakan ke atas Rusia, ekonomi global boleh menjangkakan pertumbuhan KDNK negara yang lebih rendah. Ia akan membahayakan Rusia tetapi tidak melumpuhkan ekonomi.

 

Shan berkata Bank Rusia telah dialih keluar daripada SWIFT dan kebanyakan bank Rusia telah berpindah ke Sistem Pembayaran Antara Bank Sempadan China yang dipanggil CIPS.

 

Sekatan akan menjadi tidak produktif dan memberi kesan kepada Eropah dalam jangka masa panjang.

 

Harga komoditi sudah semakin tinggi kerana Rusia dan Ukraine merupakan pemain utama dalam pasaran komoditi.

 

Baru minggu lepas, katanya, harga spot perak juga meningkat sebanyak 5.4%.

 

Platinum dan Palladium juga meningkat, masing-masing memperoleh 3.7% dan 10.8%.

 

Shan berkata kedua-dua logam berharga terakhir itu bukan sahaja dianggap sebagai pelaburan yang mengelak risiko, tetapi juga merupakan barangan perdagangan utama Rusia, yang eksportnya bersamaan dengan kira-kira 15% daripada platinum dunia dan lebih daripada 45% daripada pengeluaran paladium dunia.

 

Harga gandum naik 17%, Harga baja naik 25% , Harga gas naik 40% dan harga minyak Brent naik 48%.

 

 

juwai

 

 

Shan memberi amaran bahawa harga minyak yang lebih tinggi akan mengheret ekonomi global ke dalam kemelesetan yang mendalam.

 

Katanya, Rusia menyumbang 17% dalam Minyak dan 11% bahagian dalam pasaran GAS.

 

“Eropah bergantung 50% kepada minyak dan gasnya dari Rusia pada masa ini yang merupakan jumlah yang besar. Inflasi pertanian dan makanan boleh dijangkakan dalam tempoh terdekat yang boleh bertahan lebih lama daripada dua tahun.

 

“Harga Gas Asli naik 20% di Eropah dan pengguna merasai tekanan. Di IQI Global, kita boleh menjangkakan inflasi berlegar sekitar 6% tahun atas tahun (Y-O-Y) di Eropah dengan pengguna merasakan tekanan ekonomi. DagangNews.com