Perbincangan kontrak ECRL IJM Corp dengan CCCC lebih lama daripada dijangka - MIDF | DagangNews Skip to main content

Perbincangan kontrak ECRL IJM Corp dengan CCCC lebih lama daripada dijangka - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Perbincangan mengenai tender kontrak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara IJM Corporation Berhad dan syarikat yang dianugerahkan projek tersebut, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) difahamkan masih berlangsung, walaupun mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.

 

Penganalisis di MIDF Research, Ummar Fitri bagaimanapun tidak menolak kemungkinan IJM Corp akan menjadi pesaing kuat dalam tender projek pengangkutan mega di Malaysia dan mungkin meraih kontrak ECRL lain dalam tempoh beberapa suku tahun akan datang. 

 

Unjuran itu dibuat berdasarkan pengalaman pelaksanaan kumpulan yang terbukti dengan rekod prestasi dalam projek kereta api dan kunci kira-kira yang sihat.

 

“Kami juga berpendapat kumpulan kekal sebagai pesaing utama dan kuat bagi projek mega infrastruktur awam yang disambung semula, seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT 3), Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) dan ECRL seperti mana diumumkan dalam Belanjawan 2021 serta projek potensi Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Johor Bahru yang baik untuk pengisian semula pesanan bukunya pada masa akan datang,” jelas Ummar dalam satu nota kajian.

 

Firma itu kekal optimis terhadap momentum perolehan IJM Corp pada masa akan datang, berdasarkan aktiviti pembinaan yang bersambung semula dengan pantas, sekali gus memberi keuntungan kepada segmen perniagaan utamanya. 

 

Sebagai rekod, IJM Corp difahamkan memegang RM4.0 bilion pesanan buku ketika ini, dan dapat menampung perolehannya bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham IJM Corp, tetapi harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM2.12 daripada RM2.27. 

 

Pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21), perolehan ternormal IJM Corp mencanak lebih daripada 100% kepada RM60.8 juta, terutamanya dipacu oleh aktiviti pembinaan yang lebih tinggi dan jualan hartanah yang bertambah baik. 

 

Di sebalik prestasi memberangsangkan itu, keputusan tersebut bagaimanapun lebih rendah daripada unjuran dibuat oleh MIDF dan konsensus.

 

Senada penarafan MIDF, CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan ‘tambah’ saham IJM Corp dengan TP diturunkan kepada RM2.12 daripada RM2.16 setelah mengemas kini item kunci kira-kira kumpulan. 

 

Bagi penganalisis di CGS-CIMB, Sharizan Rosely, pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 pada Oktober depan akan bertindak sebagai pemangkin kepada harga saham kumpulan, berdasarkan jangkaan projek MRT 3 yang bakal diumumkan semula. - DagangNews.com