KUALA LUMPUR 11 Nov. - Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan dimuktamadkan segera dan dijangka ditandatangani pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 pada Ahad ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya berharap Mesyuarat Majlis Komuniti ASEAN (AEC) ke-19 secara maya akan memuktamadkan usaha itu.
Menteri Ekonomi ASEAN bermesyuarat semalam, sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang dihoskan Vietnam dan diadakan secara maya dari 12-15 November ini.
"Kami berharap dapat menandatangani RCEP pada akhir sidang kemuncak ini (ASEAN) pada Ahad ini," katanya kepada media selepas berakhirnya mesyuarat itu, lapor Berita Harian.
Beliau yang juga Menteri Kanan, mewakili Malaysia dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Berkenaan Pelaksanaan Pendekatan Tanpa Tarif (NTM) Barangan Penting di ibu negara, semalam.
Terdahulu Azmin mengadakan perbincangan dalam Dialog Terbuka Troika Menteri Ekonomi ASEAN dengan menteri perdagangan Switzerland, Guy Parmelin.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, perbincangan mengenai RCEP sudah berlangsung lebih 10 tahun lalu.
"Menurut kumpulan RCEP, mereka berusaha keras untuk mendapatkan kesepakatan antara negara anggota ASEAN dan juga rakan dialog lain," katanya.
"Alhamdulillah dengan usaha tidak mengenal penat dalam mencapai kata sepakat dalam sidang kemuncak ini dan nampaknya berkembang positif.
"Perjanjian perdagangan bebas RCEP (FTA) akan memberi manfaat kepada Malaysia dan kami ingin melihat bagaimana Malaysia dapat menggunakan RCEP dan ini akan menjadi FTA terbesar yang pernah kita tandatangani," katanya.
Malaysia berminat menjalin hubungan dua hala dan bekerjasama dalam sektor ekonomi antarabangsa dengan Switzerland terutama dalam bidang keamanan siber.
Beliau berkata, negara ini turut mempunyai minat untuk bekerjasama dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Katanya, Majlis Digital dan Nasional Revolusi Perindustrian 4.0 yang baru ditubuhkan akan menekankan dasar kepimpinan mengenai IR4.0 dan digitalisasi serta mempercepat pertumbuhan ekonomi.
"Kita juga ingin melihat peningkatan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam waktu terdekat.
"Malaysia yakin strategi yang disatukan akan dapat menyediakan kerangka strategik untuk rangka kerja ASEAN dalam IR4.0 nanti dengan menetapkan agenda serta hala tuju untuk beberapa tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com