Permai: Pemandu teksi & bas terima 'one-off' RM500 | DagangNews Skip to main content

Permai: Pemandu teksi & bas terima 'one-off' RM500

pemandu teksi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pastinya memberi kesan kepada banyak pihak termasuk pemandu teksi dan bas di negara ini.

 

Melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.

 

"Bagi meringankan beban khususnya pemandu teksi dan bas, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.

 

"Bantuan kewangan one-off itu dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta," jelas beliau.

 

Pakej bantuan Permai diumumkan untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. 

 

Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah pakej tersebut yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

 

Tambah beliau, kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun.

 

Syarat yang diletakkan itu bagaimanapun dilonggarkan kepada lima tahun, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021. - DagangNews.com