Permintaan bahan tanaman pisang, buluh, kelapa dan padi melonjak - FGV | DagangNews Skip to main content

Permintaan bahan tanaman pisang, buluh, kelapa dan padi melonjak - FGV

2021 menyaksikan peningkatan pengeluaran bahan tanaman pisang, buluh, kelapa dan padi. Gambar FGV

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Salah satu pengeluar bahan tanaman terkemuka di Malaysia, FGV Holdings Berhad (FGV) akan meningkatkan pengeluaran bahan tanaman pisang, buluh, kelapa dan padi untuk memenuhi permintaan domestik yang kian melonjak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, penggunaan bahan tanaman yang betul adalah salah satu faktor utama yang menentukan kejayaan pengeluaran tanaman secara komersial. 

 

Haris Fadzilah Hassan
Haris Fadzilah Hassan

 

“Peningkatan permintaan daripada pelanggan menunjukkan kemampuan kami dalam menawarkan pelbagai produk berkualiti tinggi melalui penyelidikan kultur tisu secara mendalam, infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang canggih, serta pengalaman lebih 50 tahun dalam penyelidikan klonal,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Menurut FGV, pengeluaran varieti klon pisang disasarkan sebanyak dua juta tahun ini, meningkat dua kali ganda daripada satu juta klon pisang tahun lalu yang dihasilkan untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi spesies Berangan, Cavendish dan Tanduk. 

 

Pengeluaran terus meningkat pada kadar 100% setiap tahun sejak 2019 untuk memenuhi permintaan pasaran khusus pisang segar dan industri makanan berasaskan pisang,” jelas firma itu. 

 

Bagi bahan tanaman klon buluh, pengeluaran spesies buluh Betong disasarkan sebanyak 1 juta menjelang tahun 2022 daripada jumlah semasa sebanyak 200,000, tambah FGV lanjut. 

 

Betong merupakan jenis buluh yang paling terkenal secara komersial kerana kepelbagaian fungsi, antaranya sebagai bahan asas untuk pembinaan hingga pemuliharaan tanah dan kawalan hakisan. 

 

Buluh boleh menjadi sumber bahan mentah yang lestari kerana tempoh matang yang singkat dalam masa tiga hingga empat tahun, dan dapat bertahan hingga 100 tahun, ujar FGV.

 

“Dengan pengeluaran komersial Betong, Pusat Inovasi FGV di Enstek, Negeri Sembilan menjadi makmal kultur tisu tanaman pertama di Malaysia yang berjaya menghasilkan anak benih klon buluh Betong secara besar-besaran,” kata Haris Fadzilah.

 

FGV
PUSAT Inovasi FGV di Estek, Negeri Sembilan

 

Selain Betong, penyelidikan klon FGV juga menyasarkan untuk menghasilkan bahan tanaman klon buluh baharu varieti Semantan menjelang tahun 2022. 

 

Buluh Semantan dapat ditanam di seluruh Malaysia dan kegunaannya termasuk sebagai bahan asas untuk papan partikel, kraftangan dan aplikasi seperti penyepit makanan, pencungkil gigi dan lidi sate.

 

Sementara itu, FGV juga meningkatkan pengeluaran bahan tanaman kelapa Pandan sebanyak 70,000 pada tahun 2021, peningkatan sebanyak 20,000 berbanding tahun lalu. 

 

Pada masa ini, 70% bahan tanaman yang dihasilkan, dibekalkan untuk aktiviti penanaman dalaman FGV, sementara 30% lagi dijual kepada pasaran domestik.

 

Selain spesies Pandan, FGV juga menyasarkan penghasilan 200,000 anak benih kelapa MATAG menjelang tahun 2025 selepas tempoh matang kebun benih kelapa seluas 50 hektar, yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak di Jerantut, Pahang. 

 

“Kami juga menawarkan perkhidmatan pengklonan kontrak untuk menghasilkan pelbagai bahan tanaman yang lain secara besar-besaran mengikut keperluan projek pertanian pelanggan atau penanaman ladang mereka. 

 

“Bahan tanaman yang boleh diklon termasuk tanaman yang mempunyai nilai komersial dan sesuai untuk pembiakan mikro in-vitro. Antara bahan tanaman baharu yang memiliki nilai pasaran tinggi termasuk Vanila dan Guarana,” tambah Haris Fadzilah.

 

Bagi bahan tanaman padi pula, FGV telah memulakan penanaman kebun benih padi wangi MRQ76 seluas 28 hektar tahun lalu di Sungai Leman, Selangor dan Seberang Perak, Perak. 

 

Benih MRQ76 yang ditanam dan dituai pada bulan Disember 2020 dan Januari 2021 akan digunakan untuk memulakan skim penanaman kontrak padi wangi fortified field FGV seluas 350 hektar, di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Seberang Perak dan IADA Barat Laut, Selangor pada bulan Mac 2021.

 

Pihak yang berminat dengan perkhidmatan pengklonan kontrak FGV boleh menghantar pertanyaan ke fassbmarketing@fgvholdings.com atau hubungi Pusat Inovasi FGV di talian 06-7916246, ujar firma itu lanjut. - DagangNews.com