Permintaan sarung tangan global Supermax dijangka kekal kukuh | DagangNews Skip to main content

Permintaan sarung tangan global Supermax dijangka kekal kukuh

Supermax

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Permintaan terhadap sarung tangan di peringkat global syarikat  Supermax Corporation Berhad (Supermax) dijangka kekal kukuh sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu lebih diyakini apabila syarikat berkenaan telah menerima tempahan dalam kuantiti yang besar khususnya daripada agensi kerajaan.

"Supermax juga menyaksikan permintaan yang tinggi daripada pasaran bukan perubatan seperti F&B, syarikat penerbangan dan runcit seiring dengan kesedaran penjagaan kesihatan akibat wabak COVID-19.

"Oleh kerana bekelan pasaran tidak mencukupi, kami juga menjangkakan harga nitrile butadiene rubber (NBR) akan terus meningkat dengan anggaran kenaikan sebanyak 50% hingga 60%.

"Namun, Supermax dilihat tidak menjangkakan apa-apa kesan terhadap keuntungannya kerana kenaikan purata harga jualan (ASP) mampu mengimbangi kos NBR yang lebih tinggi," jelas CGS-CIMB Research.

Mengulas berkaitan perancangan Supermax untuk membina dua kilang pengeluaran sarung tangan di luar negara, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya masih belum menjelaskan kesan perancangan berkenaan dalam jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 syarikat berkenaan.

Perancangan pembinaan kedua-dua kilang tersebut bertujuan untuk memudahkan lagi proses pengeluaran selain lebih dekat dengan pelanggan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Kilang di dua negara tersebut dijangka akan beroperasi secara bertahap bermula separuh kedua 2022.

CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'tambah' saham Supermax dengan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM13.20.

"Kami turut menjangkakan ASP Supermax akan meningkat pada  tahun kewangan semasa 2021," jelas CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com