KUALA LUMPUR 21 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan permintaan untuk semikonduktor akan terus kukuh dan akan membantu perkembangan masa hadapan UWC Berhad.
Firma itu berkata, permintaan itu didorong oleh perkembangan aplikasi 5G, automotif, peranti pintar, pengkomputeran awan, AI (kecerdasan buatan) dan IoT (internet kebendaan).
Katanya, pelaksanaan Akta CHIPS dengan peruntukan AS$52 bilion (RM230.7 bilion) untuk mengukuhkan pembuatan, reka bentuk dan penyelidikan semikonduktor di Amerika Syarikat (AS) selain pengenalan 5G telah mendorong pasaran penguji kerana peranti teknologi itu memerlukan set cip berkelajuan tinggi.
"Kumpulan itu sedang membina kemudahan bilik bersih kelas 100 di tapak Batu Kawan untuk memenuhi proses kelayakan.
"Selain itu, kerja-kerja tebus guna tanah seluas 4.8 hektar di Taman Perindustrian Batu Kawan sedang berjalan dan kerja-kerja cerucuk akan dijalankan selepas itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2022, untung bersih kumpulan itu meningkat kepada RM29.25 juta daripada RM23.04 juta pada tempoh yang sama sebelumnya didorong oleh hasil lebih tinggi dan pendapatan lain yang dijana pada suku semasa.
Hasil pada suku pertama meningkat kepada RM92.12 juta daripada RM75.26 juta setahun sebelumnya.
Peningkatan itu disumbangkan oleh kapasiti berkembang kumpulan itu untuk menampung kontrak yang semakin meningkat yang memanfaatkan pembangunan industri semikonduktor.
Firma itu menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM4.00 lebih rendah berbanding RM4.38. - DagangNews.com