Permintaan tenaga TNB dijangka kekal stabil - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Permintaan tenaga TNB dijangka kekal stabil - Maybank IB


Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR  24 Sept. - Permintaan bagi tenaga di Lembah Klang untuk tahun 2021 dijangka kekal stabil tahun ke tahun berbanding unjuran pertumbuhan 2.9%  yang dibuat sebelum ini berikutan peralihan Lembah Klang ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

 

Maybank IB Research berkata, penjanaan tenaga bagi Semenanjung Malaysia kini semakin pulih dengan hanya 6.5% di bawah kadar operasi sebelum Pelan Kawalan Pergerakan pada May 2021.

 

"Bagaimanapun, kenaikan harga arang batu yang mendadak berpotensi menjejaskan pendapatan suku ketiga 2021 Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3Q21 berikutan terdapat jurang antaraa kos arang batu TNB dan harga Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT). 

 

"Kami menekankan ini hanya disebabkan oleh masa, dan TNB tidak terjejas dengan turun naik harga bahan bakar," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Firma itu berkata, syarikat dengan kontrak pelanggan harga tetap  dijangka mengalami tekanan ekoran kenaikan harga gas Eropah

 

"Bagaimanapun TNB dijangka tidak terjejas berikutan harga gas domestik sebahagian besarnya masih dikawal," katanya.

 

Maybank IB Research berkata, dorongan terhadap sumber boleh diperbaharui juga telah menyaksikan peningkatan penggunaan solar melalui ladang solar dan solar atas bumbung.

 

"Dari perspektif pengoptimuman tanah, teknologi solar mungkin lebih sesuai untuk bumbung.Dengan insentif yang betul, pajakan panel TNB boleh menjadi sumbangan penting kepada pertumbuhan syarikat," katanya. -DagangNews.com