Pernas, Bubbles O2 jalin kerjasama pacu perkembangan industri francais bersempena penganjuran Le Tour de Langkawi 2023 | DagangNews Skip to main content

Pernas, Bubbles O2 jalin kerjasama pacu perkembangan industri francais bersempena penganjuran Le Tour de Langkawi 2023

Pernas dan Bubbles 02 jalin kerjasama bagi mempromosikan industri francais bersempena kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Bubbles 02 Sdn. Bhd. (Bubbles O2) menjalinkan kerjasama bagi memacu perkembangan industri francais bersempena penganjuran kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

 

Bubbles O2 yang merupakan antara penaja LTdL bagi anugerah "Most Combative Rider" mempelawa Pernas bekerjasama bagi mewujudkan semangat keusahawan dan membuka peluang perniagaan francais dalam kalangan peserta dan pengunjung acara sukan berprestij itu

 

Melalui slogan 'Jom #CariPernas @ Reruai Bubbles O2', adalah program turun padang Pernas bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan kepada lebih sejuta penonton dan pengunjung sepanjang lapan laluan LTdL 2023.

 

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek berkata, menerusi jalinan kerjasama itu, pihaknya dapat membuka ruang kepada orang ramai untuk mengetahu lebih lanjut mengenai program francais.

 

Beliau berkata, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan Pernas sebagai peneraju francais Malaysia dan mengembangkan model francais secara meluas kepada orang ramai.

 

pernas
Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek (kanan) dan Ain Azizah Arifin selepas memterai perjanjian kerjasama di antara Pernas dan Bubbles O2 di Menara Pernas, hari ini.

 

Katanya, Bubbles 02 Cavalcade akan membantu mempromosikan sistem francais dengan tumpuan untuk membimbing dan menyediakan sokongan pembiayaan, latihan, pembangunan keusahawanan dan pelaburan ekuiti kepada agar orang awam boleh meneroka dan menceburi bidang perniagaan francais.

 

"Di samping kerjasama ini, tiga jenama lain iaitu 1901, Gloria Jean’s Coffees dan FTW Racing juga akan mengambil bahagian dalam mempromosikan jenama mereka kepada peminat berbasikal dari seluruh dunia.

 

"Kami akan sertai apa sahaja kerjasama yang boleh membantu Pernas mempromosikan program francais kepada orang ramai," katanya selepas Majlis Pelancaran Jom Cari Pernas di Reruai Bubbles O2 sempena LTdL 2023 di Auditorium Tun Rahah, Menara Pernas, di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri francais di Malaysia, Pernas sentiasa menyokong sepenuhnya aktiviti dan program yang mengukuhkan pertumbuhan industri.

 

pernas
Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek (kanan) dan Ain Azizah Arifin memberi penerangan mengenai kerjasama antara Pernas dan Bubbles O2 bersempena penganjuran LTdL 2023.

 

"Pernas juga mengenal pasti syarikat yang berpotensi untuk berkembang melalui pelaburan seperti Bubbles O2. 

 

"Melalui aktiviti pelaburan strategik, Pernas dapat membantu syarikat-syarikat ini untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2, Ain Azizah Arifin menyifatkan penyertaan mereka dalam perlumbaan breprestij ini sebagai satu titik permulaan yang membantu mereka menembusi pemasaran antarabangsa. 

 

"(Pasaran) Bubbles O2 kini berada di Brunei dan Dubai tetapi kita juga ada berkolaborasi atau kerjasama di Amerika Syarikat iaitu di Puerto Rico dan San Francisco. 

 

"Tajaan di LTdL ini adalah satu usaha syarikat untuk meningkatkan tahap keyakinan dan membawa nama jenama ke peringkat antarabangsa sebelum sampai ke pasaran," katanya. - DagangNews.com