Perodua bakal hasilkan EV mampu milik menerusi pelan hala tuju EV yang akan dilancar tahun ini | DagangNews Skip to main content

Perodua bakal hasilkan EV mampu milik menerusi pelan hala tuju EV yang akan dilancar tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - MIDF Research menjangkakan Perodua bakal menghasilkan kenderaan elektrik (EV) mampu milik menerusi pelancaran peta hala tuju pembangunan EV pada tahun ini.

 

Syarikat itu akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM1.3 bilion untuk tujuan itu merangkumi RM529 juta untuk model baharu secara pukal, RM49 juta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan RM46 juta akan digunakan untuk transformasi digital.

 

Pada masa sama, Produa menyasarkan pertumbuhan sebanyak 30% dari segi jumlah jualan iaitu sebanyak 247,800 unit pada 2022 dan jangkaan itu dibuat berdasarkan perkembangan pasaran sebanyak 40.6% daripada 37.4% pada 2021 selain unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 610,000 pada tahun ini.

 

Firma itu menjangkakan sasaran jumlah jualan itu akan di sokong oleh pengenalan model baharu ke dalam pasaran iaitu model yang bakal menggantikan Alza yang menyumbang 8% kepada jumlah jualan keseluruhan pada 2021.

 

"Sasaran itu juga akan disokong oleh dua lagi model yang tampil dengan wajah baharu selain itu syarikat akan memenuhi tempahan yang dibuat antara tiga ke enam bulan sebelum ini.

 

"Insentif pengecualian cukai sehingga Jun 2022 juga akan menyumbang kepada sasaran ini selain perubahan dari segi pembuatan di kilang iaitu memendekkan tempoh penghasilan daripada 1.45 minit kepada 1.35 minit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menyasarkan jumlah jualan sebanyak 240,000 unit pada 2022 iaitu pertambahan 26% daripada tahun lalu dan 41.7% daripada jumlah pasaran yang dilihat lebih konservatif berbanding sasaran 248,000 unit yang disasarkan Perodua.

 

Berdasarkan laporan awal, firma itu menyasarkan TIV 2022 pada kadar yang lebih rendah selepas mengambil kira faktor pandemik yang bakal memberi gangguan kepada rantaian bekalan dan kekurangan cip.

 

"Secara keseluruhan sasaran yang ditetapkan oleh Perodua adalah sangat mengejutkan tetapi positif dan paling penting ia memberi gambaran bahawa ia adalah petanda positif untuk sektor automotif," katanya.

 

Firma penyelidikan itu kekal positif dengan sektor automotif dengan UMW (saranan 'beli' dengan harga sasaran RM4.35 sesaham) dan MBM (saranan 'beli' dengan harga sasaran RM3.87 sesaham) dijangka akan memberikan sumbangan lebih baik kepada pendapatan Perodua. - DagangNews.com