KUALA LUMPUR 19 Jan - Kementerian Pertahanan (Mindef) dijangka melaksanakan perolehan kumpulan kedua 18 buah pesawat FA-50 Fighting Eagle (Batch 2) buatan Korea Selatan dalam tempoh dua tahun lagi.
Memetik laporan portal pertahanan Defence Security Asia, proses tersebut bagaimana pun akan bermula lebih awal memandangkan ia tidak melibatkan penawaran tender baharu.
Ini kerana tender sedia ada bagi perolehan pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini melibatkan 36 buah kesemuanya.
Mindef pada Mei lalu memeterai memorandum persefahaman dengan Korea Aerospace Industries (KAI) bagi perolehan 18 buah pesawat FA-50 Fighting Eagle Block 20 bernilai RM4 bilion.
Pesawat ini dijangka diterima secara berperingkat-peringkat bermula tahun 2026.
Sekiranya perolehan kumpulan kedua dilaksanakan, bermakna rancangan pelan strategik CAP 55 TUDM berjalan mengikut sepertimana dirancang.
Memandangkan perolehan FA-50 Block 20 bagi menggantikan pesawat-pesawat Hawk dan Aermacchi MB339CM TUDM, maka jumlah 36 buah pesawat tersebut perlu dipenuhi.
Sehubungan itu, perbelanjaan bagi 18 buah pesawat kumpulan kedua itu akan dipohon pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2025-2030).
Andaian bagi perolehan kedua ini melibatkan kos kira-kira RM5 bilion.
FA-50 Block 20 merupakan varian terkini dan paling berkemampuan yang mana Malaysia merupakan pengguna kedua varian ini selepas Poland.
Keputusan TUDM memilih FA-50 Block 20 juga disifatkan bersesuaian dengan kehendak operasi angkatan tersebut.
Ia sama sekali tidak merendahkan keupayaan TUDM kerana pemilikan pesawat tempur ringan kini menjadi opsyen pada banyak negara yang inginkan pesawat tempur tetapi pada kos ekonomi.
KAI misalnya membangunkan FA-50 sebagai pesawat pejuang pelbagai peranan menggantikan pesawat F-5 Korea Selatan yang menggabungkan teknologi timur dan barat.
Walaupun dalam kategori pesawat tempur ringan, FA-50 Block 20 mempunyai kebolehan untuk melaksanakan tugas pertahanan udara berdasarkan sistem pada pesawat.
Ini kerana FA-50 Block 20 dilengkapi dengan pelbagai sistem dan kelengkapan bagi membolehkan ia beraksi umpama sebuah pesawat pejuang pelbagai peranan.
Ia membawa peluru berpandu ‘beyond visual range’ (BVR) seperti AIM-120 AMRAAM menjadikan keupayaan FA-50 Block 20 wajar digeruni.
FA-50 Block 20 juga boleh mengisi minyak di udara lantas dapat terbang lebih lama dan lebih jauh jika melakukan rondaan di wilayah maritim
Sepertimana Malaysia, Poland memilih FA-50 untuk menggantikan pesawat tempur MiG-29 dan Su-22 era Soviet yang telah usang.
Perolehan pertama Poland bagi 12 buah pesawat FA-50 Blok 10 konfigurasi sama yang digunakan Tentera Udara Republik Korea.
Kontrak kedua pula 36 pesawat FA-50PL Block 20 dengan penghantaran dijangka antara tahun 2025 dan 2028. - DagangNews.com