Pertambahan kontrak baharu, TA Securities yakin Inta Bina catat pertumbuhan lebih kukuh tahun ini | DagangNews Skip to main content

Pertambahan kontrak baharu, TA Securities yakin Inta Bina catat pertumbuhan lebih kukuh tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Inta Bina Group Bhd diyakini mencatatkan pertumbuhan pendapatan lebih kukuh pada tahun ini dipacu pertambahan kontrak baharu, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran setahun penuh sebanyak 11% kerana untung bersih teras sebanyak RM15.3 juta untuk separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) membentuk 57% daripada anggara tahun penuh.

 

"Melihat ke hadapan, kami menjangkakan prospek pendapatan kekal teguh, disokong oleh buku pesanan terkumpul yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan peningkatan keuntungan bersihsebanyak 37% bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24), apabila margin kasar yang lebih tinggi mengimbangi penurunan dalam hasil. 

 

Hasil bagi suku tersebut susut 7.7% tahun ke tahun kepada RM154.11 juta untuk 2QFY24.

 

Syarikat itu juga mengisytiharkan dividen interim pertamanya sebanyak satu sen sesaham yang perlu dibayar pada 19 September 2024.

 

Kumpulan itu memperoleh kira-kira RM1.1 bilion pekerjaan baharu setakat ini, membentuk lebih dua pertiga daripada unjuran penambahan semula pesanan TA Securities sebanyak RM1.6 bilion untuk FY24.

 

"Kontrak baharu ini, yang menawarkan margin yang lebih baik, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Inta Bina" pada 2HFY2024, kata firma penyelidikan itu.

 

TA Securities menjangkakan kumpulan itu memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM29.5 juta bagi  FY24, sebelum meningkat kepada RM41.2 juta pada FY25.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Inta Bina kerana syarikat itu merupakan penerima langsung sektor hartanah domestik yang teguh, dan untuk keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buku pesanan yang berdaya tahan serta meningkatkan keuntungan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 71 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com