Pertumbuhan Malaysia dijangka perlahan pada 2HFY22 - Fitch Solutions | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan Malaysia dijangka perlahan pada 2HFY22 - Fitch Solutions

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research menyemak semula unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar untuk Malaysia kepada 5.9% untuk 2022 berbanding 5.2% sebelumnya.

 

Firma itu dalam satu laporan berkata, jangkaan kini terletak di antara sasaran pertumbuhan bank pusat sebanyak 5.3% hingga 6.3%, tetapi kekal di bawah konsensus Bloomberg sebanyak 6.1%.

 

"Untuk 2HFY22, kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia perlahan, apabila permintaan semakin berkurangan.

 

"Tambahan pula, prospek ekonomi global yang lemah dan keadaan monetari yang lebih ketat juga akan mempengaruhi eksport dan pelaburan,” katanya.

 

Fitch Solutions berkata, melihat kepada KDNK melalui pecahan perbelanjaan, rangsangan kepada pertumbuhan KDNK utama didorong terutamanya oleh peningkatan mendadak dalam penggunaan swasta (18.3% tahun ke tahun), disebabkan pembukaan semula atau sempadan dan pemansuhan sekatan COVID-19.

 

Katanya, subkomponen pengangkutan melonjak sebanyak 91% dari tahun ke tahun manakala perkhidmatan rekreasi juga meningkat sebanyak 75.1% dari tahun ke tahun.

 

"Normalisasi aktiviti ekonomi juga menyokong pertumbuhan dalam pelaburan tetap, yang meningkat kepada 5.8% pada 2QFY22, daripada 0.2% pada 1QFY22.

 

“Eksport barangan dan perkhidmatan juga mendapat manfaat daripada pemansuhan sekatan sempadan.

 

“Keseluruhan eksport meningkat 10.4% pada 2QFY22, meningkat daripada 8% pada 1QFY22 dan ini didorong peningkatan dalam eksport perkhidmatan sebanyak 49.1%, berbanding 20% pada suku sebelumnya, manakala eksport barangan hanya meningkat sedikit daripada 7.1% pada 1QFY22 kepada 7.4% pada 2QFY22,” katanya. - DagangNews.com