Pertumbuhan pinjaman 2022 diunjur berkembang antara 5% hingga 5.5% - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman 2022 diunjur berkembang antara 5% hingga 5.5% - Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan pinjaman bagi 2022 berkembang antara 5.0% hingga 5.5% dengan permintaan domestik menyumbang kepada trajektori pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 4QFY22.

 

Firma itu berkata, potensi kemelesetan ekonomi dan momentum pertumbuhan domestik dijangka perlahan pada 2023.

 

"Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas padaakhir minggu ini, yang akan menjadikan kadar akhir tahun kepada 2.75%.

 

"Bagaimanapun, disebabkan kebimbangan perkembangan domestik yang perlahan dan kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi tahun hadapan, kami masih hanya menetapkan 50% kebarangkalian kenaikan kadar 25 mata asas lagi pada 1QFY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan pinjaman berkurangan kepada 6.4% pada September 2022 berbanding Ogos: 6.8%.

 

Katanya, pertumbuhan kekal diterajui oleh pinjaman untuk pembelian hartanah kediaman (7.4%; Ogos: 7.5%), tetapi kelembapan itu didorong oleh pertumbuhan kredit yang lebih rendah untuk modal kerja (8.5%; Ogos: 9.4%), dan pembelian sekuriti (5.0% Ogos: 6.8%).

 

"Perkembangan mengikut sektor kekal diterajui sektor isi rumah (6.6%; Ogos: 6.6%), tetapi kelembapan itu disebabkan oleh penguncupan pertumbuhan yang lebih mendalam dalam sektor pertanian, perhutanan & perikanan (-5.7%; Ogos: -0.2%), serta pertumbuhan yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan (5.8%; Ogos: 7.6%), dan sektor maklumat & komunikasi (10.5%; Ogos: 19.8%).

 

"Perkembangan bulan ke bulan menunjukkan penguncupan kepada 0.6% pada kadar pinjaman purata wajaran yang lebih tinggi bagi bank perdagangan (4.43%; Ogos:4.24%)," katanya. - DagangNews.com - DagangNews.com