Perubahan indeks FBM cetus tekanan jualan saham terkeluar | DagangNews Skip to main content

Perubahan indeks FBM cetus tekanan jualan saham terkeluar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Perubahan yang berlaku dalam indeks FTSE Bursa Malaysia (FBM) dijangka mencetuskan tekanan penjualan saham terhadap ekuiti syarikat-syarikat yang disingkirkan, kata CGS-CIMB Research.  

 

Bursa Malaysia pada 3 Disember lalu mengumumkan syarikat sarung tangan Supermax Corporation Berhad (Supermax) bakal menggantikan KLCC PROP & REITS - Stapled Sec (KLCCP) dalam indeks konstituen FBM KLCI. 

 

Senarai simpanan FBM KLCI terdiri daripada lima syarikat teratas bukan ahli indeks yang mempunyai kedudukan tertinggi dari segi permodalan pasaran termasuk Kossan Rubber, QL Resources, MR D.I.Y. GROUP, Westports Holdings dan KLCCP.

 

Senarai simpanan itu akan digunakan jika satu atau lebih daripada ahli indeks dikeluarkan daripada menjadi ahli FBM KLCI mengikut peraturan indeks dalam penilaian setengah tahun akan datang.

 

Berikutan daripada penilaian tersebut, ATA IMS, Duopharma Biotech, Heineken Malaysia, KLCCP, MR D.I.Y. GROUP, Unisem, UWC dan YTL Power International telah dimasukkan ke dalam Indeks FBM Mid 70. 

 

Dalam pada itu, AEON, Eco World International, Hengyuan Refining Company, Kerjaya Prospek Group, Petron Malaysia Refining & Marketing, Sunway Construction Group, Supermax Corp dan Velesto Energy akan dikeluarkan daripada indeks tersebut.

 

Inari Amertron dan Petronas Dagangan telah dimasukkan ke dalam Indeks FBM Hijrah Shariah, manakala FGV Holdings dan Serba Dinamik Holdings akan dikeluarkan daripada indeks itu.

 

CGS-CIMB berkata, senarai FBM70 dan FBM Hijrah Shariah berpotensi memberi manfaat kepada Supermax, MR DIY, Heineken Malaysia, YTL Power, Unisem, UWC, ATAIMS, Duopharma, Petronas Dagangan dan Inari.

 

Bagaimanapun, Sunway Construction, Kerjaya Prospek, AEON, Velesto, Petron Malaysia, Hengyuan, Ecoworld International, Serba Dinamik dan FGV bakal berdepan tekanan jualan saham mereka. 

 

Perubahan-perubahan dalam indeks berkenaan juga dijangka mendorong penyusunan semula oleh pengurus dana, ramal CGS-CIMB.

 

“Perubahan dalam indeks konstituen KLCI sejajar nota kajian awal kami terhadap perkara itu sebelum ini. 

 

“Kami mengekalkan unjuran KLCI pada paras 1,628 bagi penghujung 2020 dan tiga saham teratas kami adalah Inari, Public Bank dan Telekom Malaysia,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. - DagangNews.com