KUALA TERENGGANU 18 Sept - Pesta Kopi Terengganu yang berlangsung di pusat beli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini minggu lalu, adalah platform terbaik untuk pemain industri memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung.
Ia menghimpunkan sebanyak 27 syarikat pempamer terdiri daripada pembekal biji kopi, pemanggang (roaster), pembekal mesin dan peralatan kopi, pembekal bahan minuman, pemilik kafe, gerai cenderahati dan hasil seni dari seluruh Pantai Timur dan Kuala Lumpur.
Beberapa pemilik kafe dan kedai kopi yang menyertai pesta itu mengakui mereka tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan yang datang dari seluruh negara untuk mengenali minuman kopi yang kini menjadi trend baharu gaya hidup terutama dalam kalangan anak muda.
Pemilik Kopi Steseng, Khairul Anuar Othman berkata, pesta itu dapat merapatkan lagi hubungan antara pemain industri dan penggemar kopi terutama dari aspek kualiti dan khasiat minuman itu jika diamalkan secara konsisten.
"Sejak Khamis lalu, memang ramai yang datang ke reruai kami untuk bertanyakan pelbagai maklumat berkaitan kopi dan mencuba pelbagai jenis minuman yang kami tawarkan di sini.
"Alhamdulillah, dapat kami berinteraksi secara lebih dekat dengan penggemar kopi dan berkongsi maklumat terkini mengenai industri ini kepada mereka terutama dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada yang berminat," katanya ketika ditemui DagangNews.com.
Pesta Kopi Terengganu itu adalah anjuran bersama Port Coffee Roaster dan Ghostbird Coffee Roaster yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan & Seni Budaya (MOTAC) serta Malaysia Speciality Coffee Association (MSCA).
Pemilik Cendawan & Kopi, Afizah Mat Sulaiman, pula berkata pesta itu adalah platform terbaik untuk dia memperkenalkan kafe miliknya yang terletak di Jabi, Besut kepada pengunjung yang hadir sepanjang tiga hari pesta itu berlangsung.
"Kafe saya baru hampir setahun beroperasi dan kami masih lagi 'merangkak' dalam industri ini namun pesta yang berlangsung dapat mempromosikan kafe saya kepada penggemar kopi.
"Ramai juga yang tertarik mahu datang ke kafe saya selepas mendengar penerangan kerana mahu mencuba menu istimewa nasi lemak cendawan kukur yang saya ternak sendiri di kawasan belakang kafe," katanya yang optimis dengan potensi cerah perniagaan berasaskan kopi pada masa akan datang.
Seorang lagi usahawan iaitu pemilik kafe Sakor, Rohani Jusoh berkata, selain membeli pelbagai jenis minuman kopi yang dijual, pengunjung juga berminat untuk mengetahui selok belok perniagaan kafe dan cabaran yang dihadapinya selama ini.
"Sekarang perniagaan kafe dan kedai kopi bagaikan 'cendawan tumbuh selepas hujan' namun usahawan tidak perlu bimbang kerana semuanya ada segmen pasaran pelanggan berbeza sebagai pasaran.
"Di sini pentingnya strategi perniagaan berkesan dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti kerana pelanggan semakin bijak membuat pilihan.
"Pesta Kopi Terengganu adalah antara platform yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri untuk bertukar-tukar maklumat kerana industri ini berkembang pantas selari dengan kecanggihan teknologi mesin dan teknik baharu untuk citarasa kopi premium dan mewah," katanya. - DagangNews.com