Pestech raih kontrak pemasangan meter pintar bernilai RM21 juta daripada TNB | DagangNews Skip to main content

Pestech raih kontrak pemasangan meter pintar bernilai RM21 juta daripada TNB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Pestech International Berhad menerusi anak syarikatnya, Pestech Sdn. Bhd. berjaya meraih kontrak bernilai RM21 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan 79,800 unit meter pintar Frekuensi Radio Fasa Tunggal.

 

Kumpulan itu berkata, menerusi kontrak itu, mereka juga perlu memasang 19,950 unit meter pintar Frekuensi Radio Tiga Fasa selaras dengan pelaksanaan Infrastruktur Pemeteran Lanjutan (AMI) TNB.

 

Katanya, kontrak itu adalah untuk tempoh dua tahun bermula 29 September 2023.

 

"Projek itu akan dilaksanakan bersama PESTECH Energy Sdn. Bhd.yang menerajui perniagaan infrastruktur pemeteran pintar kumpulan itu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sejak 2019 sehingga kini, kumpulan telah memperoleh kontrak bernilai RM139.8 juta daripada TNB merangkumi pesanan interim dan pesanan variasi terdiri daripada sejumlah 643,455 unit meter pintar.

 

Katanya, pemberian kontrak itu menandakan kemampuan kumpulan untuk terus memenuhi spesifikasi standard dan prestasi penghantaran seperti yang dikehendaki oleh TNB.

 

"Ia juga mengesahkan semula rekod prestasi yang dibina dalam pemeteran pintar dan segmen perniagaan AMI.

 

"Rekod itu membolehkan kumpulan memanfaatkan lebih banyak prospek dalam meter pintar untuk fasa lain untuk TNB," katanya.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan selaras dengan peringkat kemajuan yang akan diiktiraf pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan 30 Jun 2025. - DagangNews.com